Thursday, December 18, 2008

Tangguh kuatkuasa :Tali keledar belakang

Aku tidak berhajat untuk mempersoalkan pelaksanaan dasar pemakaian tali pinggang keledar penumpang belakang yang akan berkuatkuasa 1 Januari depan.

Dasar tersebut patut disokong kerana ia mampu melonjakkan budaya keselamatan di kalangan pemandu dan penumpang di negara ini serta diyakini dapat mengurangkan maut.

Kajian Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mendapati 80 peratus penumpang yang tidak memakai tali pinggang khususnya di belakang menghadapi risiko maut dan cedera parah.

Aku sendiri secara peribadi komited mahu melihat keluarga khususnya anak-anak yang menaiki kereta diberikan langkah keselamatan mencukupi termasuk menggunakan tali pinggang keledar.

Pun begitu, Aku merasakan perlu membawa suara keresahan orang ramai terutamanya mereka yang ramai anak dan anggota keluarga terhadap pelaksanaan dasar itu.

Dengan mengehadkan jumlah penumpang kereta kepada lima orang, tidakkah ia akan membebankan sebahagian rakyat? Untuk bergerak sekeluarga seperti pulang ke kampung, menghadiri majlis kahwin dan bercuti, mereka terpaksa menggunakan kenderaan tambahan, menyewa kereta dan menaiki teksi.

Ada anak yang mungkin tidak dapat menaiki kereta bersama atau tinggal di rumah sahaja. Adakah ini masyarakat penyayang yang kita mahu? Apakah kita mahu melihat rakyat hidup lebih tertekan biarpun mahu mengutamakan keselamatan mereka?

Mungkin dengan adanya dasar tersebut, lebih ramai akan menggunakan motosikal, yang risiko nahas jalan raya lebih tinggi.

Realitinya juga, bukan semua rakyat negara ini mampu membeli kereta pelbagai guna (MPV) yang lebih mahal harganya. Isu ekonomi dan taraf hidup rakyat perlu diambil kira.

Ekonomi kita belum sampai ke tahap kebanyakan negara maju. Kebanyakan rakyat kita masih bergelut untuk hidup sama ada di bandar mahupun desa.

Aku juga tertanya-tanya mengapa wang yang banyak dibelanjakan untuk kempen kesedaran pemasangan tali pinggang keledar. Berdasarkan kenyataan Kementerian Pengangkutan, sebanyak RM40 juta dibelanjakan tahun lepas, RM45 juta tahun ini dan RM45 juta lagi untuk tahun depan. Wajarkah?

Tetapi yang lebih menuntut kewajaran ialah penangguhan kepada penguatkuasaan 1 Januari ini. Setidak-tidaknya, ia dapat meredakan keresahan rakyat selain dapat diperhalusi lagi semua aspek supaya majoriti rakyat bukan sahaja menerima malah menyokong usaha tersebut.

No comments: