Thursday, December 18, 2008

Elakkan kenyataan beremosi ketika hadapi tragedi

PELBAGAI berita kita dengar berlaku di tapak kejadian tanah runtuh yang meranapkan 14 banglo dan meragut empat nyawa di Bukit Antarabangsa, sejak Sabtu lalu. Kadang-kala kita mendengar berita yang kurang enak seperti berlaku kecurian di banglo yang terpaksa ditinggalkan penghuninya, ada pegawai pasukan penyelamat dikatakan melemparkan kata-kata yang tidak sepatutnya dan ada juga mangsa mendakwa pihak pasukan penyelamat tidak serius membantu mereka. Kita tidak tahu sejauh mana kebenaran semua kata-kata itu. Hanya mereka terbabit dan yang mendengar sendiri kata-kata seperti itu boleh membuat rumusan tersendiri berdasarkan senario ketika kejadian. Kita akui dalam keadaan kelam-kabut apatah lagi ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan, apa saja boleh berlaku terutama membabitkan soal emosi di kalangan ahli keluarga mangsa dan petugas pelbagai agensi termasuk polis, bomba dan anggota sukarela. Kita memahami perasaan mangsa, terutama apabila ahli keluarga belum ditemui seperti berlaku pada Sabtu lalu. Misalnya, laporan sebuah akhbar berbahasa Cina menyebut seorang lelaki yang kehilangan isteri mendakwa dihulurkan cangkul oleh pasukan menyelamat untuk mencari sendiri ahli keluarganya yang tertimbus sejurus selepas kejadian Sabtu lalu. Sekali lagi kita tidak pasti sejauh mana kebenaran ini berlaku. Kadang-kala dalam keadaan sedemikian, emosi semua pihak yang terbabit agak tinggi.

Bayangkan, anggota pasukan penyelamat bertungkus lumus untuk mencari mangsa dan mereka juga – yang sudah pasti berpengalaman – tidak boleh sewenang-wenangnya meredah ke ruang banglo yang tertimbus kerana perlu juga memikirkan soal keselamatan diri. Secara amnya, dalam situasi begitu, kita tidak boleh 'memaksa' mereka untuk melakukan sesuatu yang melebihi had keselamatan diri dan jika kita 'paksa' juga, maka sebagai manusia biasa emosi mereka akan turut terganggu yang akhirnya diluahkan melalui kata-kata sindiran atau tindak balas. Kita sebenarnya tidak pasti apa yang mendorong anggota penyelamat yang dikatakan memberi cangkul kepada lelaki terbabit, jika ia benar-benar berlaku. Demikian juga mengenai dakwaan seorang mangsa mengenai tindakan seorang pegawai yang mengeluarkan kata-kata 'bodoh' sebagai merujuk kepada tindakan mereka membeli rumah di kawasan itu. Semua pihak sepatutnya mengawal emosi untuk tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan sama ada di pihak pasukan penyelamat atau mangsa. Sepatutnya kita semua menghargai tenaga bakti dicurahkan pasukan penyelamat yang berkorban masa dan tenaga untuk membantu mangsa. Bayangkan, Unit Udara Polis sanggup membahayakan diri dan beroperasi ketika waktu hujan demi membantu dan menyelamatkan mangsa terperangkap baru-baru ini. Kita memahami tekanan perasaan dialami mangsa dan ahli keluarga yang hidup mereka kini terumbang-ambing berikutan tiada tempat untuk tinggal selepas kawasan perumahan yang didiami sejak belasan tahun belum diisytiharkan selamat untuk didiami. Yang penting, semua pihak saling memahami perasaan, tugas dan had kesabaran masing-masing. Mengenai dakwaan berlaku kecurian, kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat.

No comments: