Thursday, December 18, 2008

Malapetaka alam akibat kecuaian manusia

Masa untuk bertindak, bukan mencari salah

KEJADIAN tanah runtuh di Bukit Antarabangsa Sabtu minggu lalu merupakan kejadian yang keenam sejak 11 Disember 1993 di kawasan sekitarnya. Kurang lima hari 15 tahun lalu, blok kondominium Highland Towers menyembah bumi menyebabkan 48 orang terbunuh. Kejadian terbaru ini mencatatkan kejadian ke-13 tanah runtuh yang dianggap besar di sekitar Hulu Klang. Berdasarkan rekod, tidak ada kejadian di antara 1993 dan 1999, tetapi pada setiap tahun selepas itu, kecuali 2004 dan 2007, berlaku kejadian tanah runtuh terjadi di situ.

Kita boleh menuding jari menyalahkan semua pihak – kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan, pemaju, malah pembeli tempat kediaman. Perdebatan mengenai hal ini akan berterusan. Kita boleh menghentikan semua projek pembinaan lereng bukit serta-merta. Langkah sedemikian memang ada baiknya. Tetapi kita jangan lupa Lembah Klang merupakan kawasan berbukit. Sekiranya pembinaan di lereng bukit dibekukan secara pukal, tidak ada tempat lagi untuk mendirikan bangunan atau rumah kediaman di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kawasan sekitarnya.

Isunya ialah tanggungjawab pihak berkuasa dan pemaju menentukan cara dan kaedah pembinaan yang betul dan selamat. Projek sedemikian harus melalui piawaian yang ketat. Semua pihak harus dilibatkan bagi memastikan kajian mendalam dibuat sebelum sebarang keputusan dibuat. Aspek keselamatan penduduk harus menjadi keutamaan. Apa gunanya menyediakan rumah kediaman yang kemudian menjadi perangkap maut bagi penghuninya? Lagi pula kawasan sedemikian tidak ada nilai hartanah langsung kemudiannya.

Malapetaka alam memang tidak dapat dielakkan. Negara maju atau mundur, kaya atau miskin tidak terkecuali. Sembilan daripada 10 malapetaka di dunia hari ini berkait dengan iklim dan perubahannya. Pada 2007, Bantuan Kemanusiaan dan Kecemasan PBB mengeluarkan rayuan untuk 15 malapetaka besar di dunia – yang terbanyak dalam setahun.

Semua ini ada kaitannya dengan cara manusia mentadbir alam sekitar. Kita lupa kuasa yang lebih besar mengawal kita. Kita menggunakan kepandaian dan teknologi untuk menjadikan impian kita satu kenyataan. Kita mahu hidup selesa, tetapi kita tidak menjaga persekitaran. Kita mahu kemajuan, tetapi mengorbankan kualiti alam. Kita mahu memacakkan status simbol baru dengan membina rumah besar di kawasan yang sebenarnya tidak selamat, kita lupa mengambil kira kehebatan alam yang dijadikan Allah.

Ambil sahaja contoh tsunami yang melanda Asia pada 26 Disember 2004. Lebih 280,000 orang terbunuh dalam kejadian yang membabitkan 16 negara dan kawasan melebihi 4,800 kilometer. Hari ini, kejadian ribut taufan, puting beliung dan gempa bumi menjadi lebih dramatik ekoran TV 24 jam. Tetapi keadaan alam yang semakin ganas bukan tanpa sebabnya. Pemanasan global atau peningkatan suhu global menjadi punca utamanya.

Kita harus menonton filem dokumentari An Inconvenient Truth yang dihoskan oleh bekas Naib Presiden Amerika Syarikat, Al Gore. Filem ini menakutkan, tetapi sepatutnya menginsafkan. Hujah beliau, bumi berada pada kedudukan kritikal pada masa ini. Kadar karbon dioksida (CO2) di permukaan bumi sebenarnya pada tahap berbahaya. Menurut data beliau, sekiranya trend itu berterusan, pemanasan global akan berterusan. Hari ini pun salji di Gunung Kilimanjaro semakin menipis, glasier mulai cair dan lereng bukit tempat bermain ski semakin hilang. Keadaan hujan yang tidak menentu di negara kita juga mungkin ada kaitannya dengan peningkatan suhu bumi.

Menurut beliau, berdasarkan kajian yang dibuat ke atas suhu global sejak tahun 1860, dari 21 tahun yang direkodkan sebagai 'panas luar biasa', 20 kali berlaku dalam masa 25 tahun kebelakangan ini. Dokumentari itu juga menunjukkan bahawa peningkatan kekerapan dan intensiti ribut taufan bertambah 50 peratus sejak tahun 70-an. Kejadian puting beliung di Amerika Syarikat (AS) meningkat dua ganda sejak 2000.

Moral ceritanya ialah sekiranya pengeluaran C02 tidak dikawal, keadaan akan memburuk. Pencairan daratan air batu di Kutub Utara akan meningkatkan paras air laut. Banyak kota utama dunia akan terjejas. Berbilion-bilion manusia akan terancam. Gore juga amat kritikal terhadap Kerajaan AS kerana negara itu merupakan pengeluar gas perosak yang lebih besar dari Amerika Latin, Asia Barat, Australia, Jepun dan Asia dikumpulkan. AS seperti juga Australia enggan menandatangani Protokol Kyoto mengenai alam sekitar. Protokol ini menentukan sasaran pengurangan pengeluaran CO2 ke udara. Tanpa AS, protokol itu tidak ada banyak maknanya.

Mungkin cadangan Jagdish Bhagwati, Profesor Ekonomi Universiti Columbia AS wajar difikirkan. Beliau mahu mereka yang bertanggungjawab mencemar alam sekitar membayar usaha untuk memulihkannya. Satu dana khas perlu diwujudkan untuk tujuan itu. Kerajaan dan pembayar cukai tidak patut dibebankan dengan usaha pemulihan lagi. Apa yang disebut 'Superfund' wajar sangat dilaksanakan bagi menampung kos pemulihan yang mahal.

Dalam konteks kita, dana sedemikian akan menyedarkan semua pihak bahawa tidak ada untungnya mencemar alam sekitar. Mesejnya jelas, rakyat sudah muak dengan sikap pemilik kilang dan pemaju hartanah yang bukan sahaja menjejaskan kualiti kesihatan rakyat, tetapi kos pemulihan yang tinggi. Tidak ada gunanya menyaman kerana dendanya terlalu kecil. Syarikat harus dihukum dengan cara memasukkan wang mereka ke dalam satu dana khas sehingga mereka mengubah cara dan perbuatan mereka.

Pada waktu yang sama, pemantauan pihak berkuasa tempatan haruslah lebih cekap dan agresif. Perkara semudah memastikan longkang tidak tersumbat pun di bandar-bandar kita kadangkala menjadi masalah besar. Itu belum lagi perbuatan membuang sampah merata-rata yang menyebabkan musibah alam sekitar. Kita melancarkan kempen Cintai Sungai Kita. Tetapi sungai kita tidak pernah bersih. Sungai-sungai di mana bot-bot membawa pelancong pun selalunya penuh dengan sampah sarap.

Apa yang berlaku di Bukit Antarabangsa sebenarnya berpunca daripada kegagalan pihak berkuasa tempatan membuat pemantauan yang sepatutnya. Mereka harus berani menghalang mana-mana pihak yang ingin memajukan kawasan kalau betul kedudukan tanahnya tidak selamat.

Air merupakan elemen alam yang tidak boleh diambil mudah. Malaysia menerima hujan yang banyak. Pengaliran air menjadi bahaya besar sekiranya tidak dikawal. Malah, bagi mana-mana projek lereng bukit pengawalan saluran air menjadi begitu kritikal sekali. Tidak ada gunanya menangisi malapetaka yang berlaku. Tindakan harus bermula dari awal, bukan mencari salah apabila kejadian memakan nyawa.

Dalam konteks kita, usaha melindungi alam sekitar harus menjadi keutamaan. Sudah cukuplah hutan-hutan kita 'dibalak' dan dirosakkan. Sudah cukuplah kawasan yang dibuka untuk pertanian dan pembangunan lainnya. Kerajaan harus mempunyai keberanian politik untuk mengatakan 'Tidak' pada syarikat balak, pemaju hartanah dan pengeluar pasir yang mencacat dan membahayakan alam sekitar. Memang kuasa wang tidak dapat dielakkan. Tetapi dengarlah rayuan persatuan alam sekitar yang cemas melihat hutan dara dirosakkan. Dan tanah tanih kita menjadi mangsa akibat ketamakan. Hakisan mulai membahayakan negara kita.

Belajarlah dari kesilapan kita selama ini.

No comments: