Thursday, December 4, 2008

Sekolah sebagai institusi perpaduan perlu diperkukuh

MEMUPUK semangat toleransi dan setia kawan rakyat pelbagai kaum seharusnya bermula sejak awal iaitu ketika di sekolah rendah. Oleh itu, sememangnya lebih baik jika semua pelajar dapat mengikuti pengajian di sekolah yang sama dengan syarat kurikulum dan sistem pembelajaran tidak meminggir atau mengenepikan kepentingan dan keselesaan sesuatu kaum. Namun, seperti kata Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, kewujudan pelbagai aliran sekolah dalam sistem pendidikan yang dilaksanakan sekarang perlu dilihat secara positif kerana memberi kelebihan dan kepelbagaian kepada masyarakat di negara ini, sekali gus menyumbang ke arah integrasi kaum. Walaupun mempunyai sekolah pelbagai aliran, kementerian sentiasa menyediakan pelbagai saluran dan program bagi meningkatkan interaksi antara murid, termasuk Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan dan aktiviti kokurikulum yang bertujuan meningkat serta menyuburkan semangat kerjasama antara kaum sebagai pemangkin perpaduan nasional. Kita akui cadangan pihak tertentu mewujudkan hanya satu jenis sekolah yang terbuka kepada pelajar semua kaum memang baik ke arah mewujudkan perpaduan nasional, malah cadangan itu sudah dikemukakan sejak Penyata Razak 1956 lagi, tetapi tidak dapat dilaksanakan hingga sekarang kerana pelbagai faktor. Pelajar yang belajar di bawah sistem satu sekolah bukan saja mengikuti sukatan pelajaran dan sistem pembelajaran yang sama, malah turut diberikan pendedahan awal untuk mereka hidup di dalam persekitaran kepelbagaian kaum. Ini akan menjadi batu asas yang amat kukuh untuk mencorak kehidupan bermasyarakat pada masa hadapan.

Disebabkan Malaysia dihuni masyarakat pelbagai kaum dengan majoritinya berbangsa Melayu, Cina dan India, kerajaan yang prihatin terhadap kehendak rakyat masih membenarkan sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil beroperasi. Namun, sejak kebelakangan ini semakin banyak keluarga bukan Melayu menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan dan ternyata mereka dapat belajar sebumbung dengan selesa dan harmoni. Justeru, kerajaan harus memperkasakan sekolah kebangsaan agar lebih ramai ibu bapa bukan Melayu tertarik untuk menghantar anak mereka ke sekolah kebangsaan. Kita yakin, jika negara mempunyai pemimpin, termasuk di kalangan bukan Melayu yang jujur dan berjiwa besar, masalah polarisasi kaum hari ini dapat diselesaikan. Seperti batu asas perpaduan kaum yang dibina pemimpin kita pada awal penubuhan Malaysia dulu, kesediaan pemimpin hari ini mengetepikan kepentingan bersifat rigid dan individualistik mampu membentuk tembok perpaduan kukuh. Maka, dasar pembelajaran bersepadu yang diterima semua kaum menjadi asas terpenting demi pencapaian matlamat itu. Inti pati pelaksanaan dasar itu ialah pengajaran dan pembelajaran bahasa. Pencapaian perpaduan negara yang tulen hanya boleh lahir melalui wahana bahasa Melayu. Namun demikian, bahasa Inggeris dan bahasa lain boleh dipelajari supaya segala faedah globalisasi dapat dinikmati seluruh warga Malaysia. Kelebihan pendekatan pembelajaran melalui bahasa kebangsaan tidak harus dipertikaikan. Hakikatnya, kefasihan dalam bahasa Melayu dan kemahiran dalam bahasa Inggeris serta bahasa lain memang penting dan saling mempengaruhi, malah menjadi kunci kejayaan pelaksanaan perpaduan negara.

Sekolah wadah penyatuan

Oleh ABDUL SAMAD ABDUL HAKIM

Slogan pendidikan untuk perpaduan sudah lama dijaja oleh ahli akademik, tokoh-tokoh pendidikan dan pencinta perpaduan. Ia bukan satu istilah yang sukar untuk diberi pengertian atau untuk diperbahaskan. Malah ia tidak memerlukan seminar atau forum yang menghimpunkan para ilmuwan khusus untuk menobatkan kepentingan pendidikan bagi membenihkan perpaduan.

Kita menjadi bangsa yang banyak istilah dan slogan tetapi dalam masa yang sama kita membina gedung besar untuk menyimpannya. Semua bangsa di negara ini begitu kaya dengan unsur kiasan, perumpamaan dan istilah tersendiri yang secara asasnya mempunyai maksud dan tujuan tertentu. Cuma kita menjadi alpa dalam kelalaian untuk memperkasakan pelbagai istilah-istilah yang sering terpapar di merata tempat itu.

Apabila penjajah dengan bangga memperkenalkan sistem pendidikan negara ini dengan menjadikan kaum sebagai sempadan dan pengasingan, maka negara kita disediakan ruang sukar untuk memperbetulkannya setelah kita merasakan sistem itu gagal mengharmonikan masyarakat majmuk di sini. Masyarakat Melayu, Cina dan India secara formalnya telah diperkenalkan satu sistem pendidikan berorientasikan kaum dengan kewujudan sekolah mengikut jenama kaum masing-masing.

Kita dipertontonkan dengan kewujudan sekolah-sekolah aliran Melayu, Cina, Tamil dan Inggeris. Objektif mudah yang boleh kita fahami ketika itu ialah sikap ambil mudah penjajah. Mereka mahu dilihat telah berlaku adil dengan kesanggupan menyediakan kemudahan pendidikan.

Tetapi kelompongan tanggungjawab sosial yang lain tidak dihiraukan malah terus menekan penduduk pribumi dengan pelbagai arahan, peraturan, undang-undang dan sekatan yang hanya memihak kepada British.

Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Tun Mahathir mencetuskan antara punca kita gagal membentuk perpaduan kaum yang tulen adalah disebabkan sistem pendidikan kita yang beraneka corak mengikut kaum. Kita mengamalkan sistem pendidikan yang mengasingkan kaum-kaum yang ada. Suasana pendidikan formal kita tidak membantu secara langsung untuk membentuk kesepaduan proses perpaduan untuk jangka waktu panjang.

Cetusan atau pendapat Mukhriz sebenarnya sudah dijelmakan oleh tokoh-tokoh terdahulu yang begitu realistik tentang peranan pendidikan terutamanya apa yang boleh kita laksanakan di peringkat sekolah.

Cadangan Mukhriz dilihat seiringan dengan Laporan Jawatankuasa Barnes 1951 dan Laporan Penyata Razak 1956 yang sudah menemui formula perpaduan kaum sejak negara belum mencapai kemerdekaan lagi. Malah tokoh-tokoh pendidikan seperti Aminuddin Baki dan Tan Sri Ainuddin Wahid (sekadar menyenaraikan beberapa nama) juga amat bersetuju agar sistem pendidikan negara digembleng menjadi satu jenama sahaja bagi mengelakkan kepelbagaian warna kurikulum di sekolah.

Kita sedia maklum untuk membuat perubahan kepada sistem pendidikan yang sedia ada bukanlah kerja mudah yang hanya sekadar mengeluarkan surat-surat pekeliling saja. Sebarang perubahan kepada sistem yang diamalkan sekarang akan berhadapan dengan asakan kritikan, cabaran, tentangan dan bantahan secara terang.

Malah kita juga perlu fahami perubahan sistem dalam corak pengurusan negara banyak melibatkan elemen-elemen lain yang begitu kuat pengaruhnya iaitu persoalan perlembagaan, kebudayaan, ideologi dan politik.

Objektifnya ialah ke arah penyemaian benih-benih perpaduan kaum untuk jangka masa panjang. Alasan lain ialah usaha membentuk kekuatan perpaduan kaum perlu diberi dan dihayati sejak dari bangku sekolah lagi. Kanak-kanak yang masih bersih pemikirannya perlu disogokkan dengan kemahiran, ilmu, tip dan kaedah berinteraksi secara tepat di antara kaum- kaum yang wujud di negara kita.

Institusi persekolahan dianggap medan perhimpunan harian bagi warganegara. Tidak ada badan atau pihak lain yang boleh dan mampu menghimpunkan manusia tiap-tiap hari dalam suasana terkawal. Boleh dikatakan semua acara keramaian dirancang dan dilaksanakan di sekolah sesuai dengan konsep pendidikannya. Program-program yang dijalankan bukan sahaja berbentuk tertutup tetapi sering melibatkan masyarakat luar.

Kekuatan yang ada di sekolah sebagai lambang pemupukan dan penggembelingan proses pendidikan amat terbukti. Pelajar akan sering berinteraksi antara satu sama lain tanpa ada perasaan prasangka. Keikhlasan dan kejujuran itu berterusan tiap-tiap hari, tiap minggu dan bertahun-tahun sehingga mencapai tahap yang ditetapkan.

Proses mengenali antara satu sama lain berlaku secara langsung dan tidak langsung dengan pelbagai cara. Bilik darjah menjadi ruangan utama membina bibit perpaduan semasa proses pengajaran dan pembelajaran. Teknik pengajaran oleh guru yang pelbagai juga antara kaedah yang membantu.

Aneka program di dalam kawasan sekolah tidak berakhir di situ. Anak-anak pelajar dibawa keluar untuk program-program pemantapan kurikulum dan kokurikulum di luar sekolah atas anjuran sekolah, pejabat pelajaran daerah/bahagian, jabatan pelajaran negeri atau pihak kementerian sendiri.

Mereka berada dalam kumpulan yang bebas daripada unsur-unsur prasangka. Di sekeliling mereka begitu banyak persepsi atau bayangan kejujuran yang menjadi intipati kepada pembentukan pemikiran positif ke arah memantapkan perhubungan.

Tetapi sistem pendidikan sekarang menjadi batasan ke arah perlakuan itu. Bangsa Malaysia tidak akan terbentuk dengan kaedah yang mudah dan ringan. Proses pergaulan di tempat kerja misalnya amat terbatas. Tidak banyak unsur atau elemen lain yang boleh membantu warganegara kita bergaul ketika di tempat kerja. Tumpuan perlu ke arah tugas untuk mengelakkan pengabaian dan gangguan pelaksanaan dasar.

Tetapi medan yang terbentang luas di sekolah amat kondusif dan terjamin ke arah pembentukan perpaduan tulen antara kaum di negara kita. Cuma perlu ada pengubahsuaian kepada sistem yang sedia ada untuk memberi ruang yang lebih kepada anak-anak pelajar bercampur gaul pada usia yang lebih awal.

Bayangkan anak-anak Malaysia yang berusia seawal 6 hingga 17 tahun berada dalam kelompok yang sama hampir setiap hari. Mereka bergaul, belajar, bermain, beriadah, berbincang, berbahas dan bertukar-tukar fikiran secara berterusan saban hari dalam keadaan penuh terkawal dengan bimbingan guru-guru terlatih.

Akhirnya, mereka akan menjadi warganegara yang sudah tidak dapat membezakan kelainan budaya dan keturunan. Mereka dengan sendiri dan mudah untuk dilabelkan sebagai bangsa Malaysia.

Tetapi cadangan Mukhriz itu sudah mengundang bantahan dan tohmahan sehingga ke peringkat laporan polis. Sekali lagi ditegaskan bahawa niat untuk membentuk jati diri anak Malaysia bukan terletak kepada bidang pendidikan sepenuhnya walaupun diakui bidang itu ada kekuatannya.

Perlu ada permuafakatan yang luar biasa untuk memartabatkan pendidikan sebagai wadah perpaduan kaum di negara ini. Semua kaum perlu dibawa duduk berbincang untuk mencapai kaedah terbaik yang membawa faedah kepada semua kaum. Bukannya setakat berbahas dengan menggunakan media atau berpolemik di luar agenda rasmi.

No comments: