Tuesday, January 6, 2009

"ISRAEL" Malaysia

GSPY terkejut dengan tindakan kerajaan negeri Perak dan Selangor yang dilaporkan bertindak mengarahkan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) mengosongkan premis tabika agensi itu.

Wajarkah pendidikan pra persekolahan yang merupakan elemen penting kepada kanak-kanak terutama daripada golongan berpendapatan rendah, dipolitikkan?

Ratusan ribu anak kecil akhirnya menjadi mangsa kerajaan pakatan pembangkang yang selama ini mendabik dada kononnya memperjuangkan konsep negara kebajikan.

Bayangkan seandainya pembangkang memerintah negara, dikhuatiri lebih banyak kecelaruan dan penganiayaan akan dilakukan atas nama politik.

GSPY tidak teragak-agak menyatakan bahawa sebarang langkah menggugat tabika Kemas adalah sama kejam dengan tindakan Israel menzalimi rakyat Palestin.

Maka ia tidak boleh dibiarkan dan rakyat harus bangkit melakukan apa sahaja bagi menghalangnya.

Hakikatnya walaupun tidak sampai setahun memerintah, kerajaan campuran DAP-PKR – Pas, telah menampakkan banyak kesilapan dan kelemahan.

Yang pasti, pakatan pembangkang telah melepaskan banyak kesempatan terbaik untuk memenangi hati rakyat.

Palestin jadi setinggan

ADALAH amat mendukacitakan dunia, apabila kalender 2009 dimulai dengan tragedi tragis serangan kejam Zionis ke atas Palestin. Serangan ganas rejim Zionis ke atas wilayah Palestin di Gaza dilihat sebagai satu pencabulan hak asasi terbesar dunia.

Tindakan untuk memencilkan Gaza selama 19 bulan telah menyebabkan runtuhnya sistem asasi masyarakat Palestin.

Gaza telah dinafikan hak bagi mendapat keperluan kehidupan sama ada dari segi bekalan makanan, tenaga, malahan kediaman penduduk dimusnahkan Israel.

Akibatnya, dengan alasan bahawa tindakan tersebut sebenarnya ditujukan kepada Hamas yang mengetuai pentadbiran Gaza, secara langsung keseluruhan penduduk Gaza dihukum secara kolektif. Kanak-kanak, remaja, wanita serta warga emas dan orang awam turut menjadi mangsa percaturan untuk memusnahkan survival Palestin secara tersusun oleh Israel.

Israel dilihat sejak 60 tahun dahulu mensasarkan strategi bagi memusnahkan survival yakni keupayaan untuk hidup supaya akhirnya rakyat Palestin mencari jalan singkat dengan bertindak keluar dari wilayah Palestin dan berhijrah ke negara-negara Arab yang berjiran dengannya.

Dasar yang dilakukan Israel ini menunjukkan kecekapan Israel untuk memastikan demografi masyarakat Yahudi melebihi masyarakat Arab di setiap kawasan Palestin yang diduduki. Tujuan akhirnya, dengan pembentukan demografi majoriti Yahudi, tiada alasan bagi dunia untuk menidakkan hak masyarakat Yahudi untuk terus menetap di kawasan Palestin yang diduduki Isreal.

Dengan tindakan ini, maka kawasan Palestin yang wujud semakin disempitkan, dan secara langsung wilayah Israel semakin meluas.

Percaturan Israel boleh dilihat pada setiap sasaran serangan dilakukan, pastinya kemudahan awam termasuk kediaman penduduk Palestin akan dimusnahkan. Bayangkan dalam kesengsaraan yang wujud kini, dan ditambah pula dengan desakan kehilangan rumah kediaman serta kemungkinan kehilangan keluarga, pastinya Palestin akan terus dilanda dilema untuk menempatkan mangsa kemusnahan akibat serangan Israel pastinya memerlukan kos yang tinggi.

Wujud

Dalam kes jenayah hak asasi yang dilakukan secara tersusun oleh rejim Zionis ke atas umat Palestin, gambaran jelas yang dapat difahami dunia ialah wujud percaturan untuk menjadikan Palestin sebagai negara setinggan selama-lamanya.

Secara geo politiknya, konflik yang sedang melanda Palestin di Semenanjung Gaza ini dilihat sebagai satu susulan kerajaan Israel untuk menutup kelemahan sistem ekonomi yang pasti tempiasnya turut dirasai oleh masyarakat Yahudi di Israel. Oleh itu diadakan satu peralihan isu dengan meletakkan sasaran keselamatan supaya tumpuan rakyat Israel bukan lagi ke arah melihat kelemahan Perdana Menteri Israel menguruskan ekonomi, tetapi lebih melihat kerajaannya sebagai 'penyelamat' kepada survival Israel.

Strategi menyerang Gaza yang dilakukan kini, dilihat menyamai seperti mana yang pernah dilakukan Barat diketuai AS ke atas Iraq apabila sekian lama Iraq dipulau dan disekat daripada menerima apa-apa bantuan asas termasuk makanan dan perubatan. Ia semata-mata bagi memenuhi agenda melemahkan aspek sosial penduduk dan diakhiri dengan serangan besar-besaran.

Tindakan untuk membiarkan hidup penduduk Gaza sengsara dilihat sebagai satu strategi melemahkan ketahanan penduduk Palestin dengan andaian bahawa rakyat di wilayah itu akan bangun memberontak terhadap pemimpin Hamas. Dan akhirnya apabila serangan dilakukan, para penduduk akan mendiamkan diri dengan tidak memberikan sokongan kepada pentadbir untuk mempertahankan kedaulatan wilayah mereka.

Inilah strategi yang digunakan ke atas Iraq selama bertahun-tahun dan akhirnya terbukti apabila serangan dilakukan, majoriti penduduk menidakkan sokongan mereka kepada Saddam Hussein. Namun, dalam konteks Palestin, kesengsaraan yang dialami bergenerasi selama 60 tahun, langsung tidak menggugat mereka dari berusaha untuk terus mempertahankan survival mereka di bumi Palestin.

Serangan ganas Israel ke atas Gaza juga dilihat sebagai sebahagian agenda kempen politik kerajaan pimpinan parti Kadima menjelang pilihan raya umum pada tahun ini untuk menonjolkan diri sebagai pejuang dan penyelamat survival Israel.

Dunia perlu mencabar kuasa besar Barat, termasuk AS dan sekutunya untuk bertindak sekurang-kurangnya memutuskan hubungan diplomasi dengan Tel Aviv sekiranya benar-benar mereka ikhlas dalam mendamaikan umat Palestin dan Israel.

Jika NATO boleh bertindak tegas ke atas kerajaan Serbia untuk menamatkan kesengsaraan ke atas Bosnia dan juga Kosovo, maka tidak mustahil Palestin juga mampu diselamatkan daripada kekejaman rejim Zionis.

Tragedi kemanusiaan di Gaza tidak boleh dibiarkan berlangsung tanpa sekatan antarabangsa.

Jika dunia masih gagal berusaha untuk mendamaikan Israel dan Palestin sejak 60 tahun lalu, kini masyarakat antarabangsa perlu mengguna cara memboikot segala kepentingan Israel dari segi diplomasi termasuk jaringan ekonomi, politik dan sosial.

Kegagalan dunia untuk bertindak tegas terhadap kegiatan kejam rejim Zionis telah menyebabkan Tel Aviv merasa selamat dengan sebarang tindakan yang dilakukannya terhadap sesiapa sahaja, terutamanya di bumi Palestin.

Dunia tidak harus membiarkan satu 'neo-holocoust' di abad ke-21 dilakukan oleh Israel ke atas umat Palestin tanpa sebarang ancaman dan tindakan konkrit yang mampu menginsafkan negara Yahudi tersebut.

Tuesday, December 23, 2008

Tidur sebantal tapi Mimpi Tak Sama

ISU hukum hudud kini ditimbulkan lagi oleh Pas. Kali ini diperkatakan menjelang pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu.

Sekian kali pula, DAP selaku sekutu Pas, tanpa berselindung menyatakan bantahan cadangan Pas untuk melaksanakan hukum tersebut.

DAP menegaskan pelaksanaan hukum hudud tidak termasuk dalam manifesto Pakatan Rakyat. DAP sejak dahulu sama ada ketika tiada apa-apa pakatan dengan Pas mahupun semasa berada di bawah pakatan yang sama, konsisten dalam menentang perkara tersebut.

Itulah akibatnya jika pakatan parti-parti politik hanya sekadar permukaan tetapi tidak berkongsi falsafah dan perjuangan.

Inilah antara bukti-bukti jelas untuk tatapan rakyat bahawa kedua- dua parti ini hanya tidur sebantal tetapi mimpi tidak pernah serupa.

Maka, kemampuan Pas hanya sekadar membangkitkan semula isu tersebut mengikut suasana dan keperluan politik. Ia tidak lebih daripada slogan politik Pas.

Dalam hal ini, chek lihat Pas sekadar berdendang lagu lama dan tiada apa yang mampu ia lakukan sebenarnya.

Lupa Pengorbanan Melayu Jejas Hubungan Kaum

PERKAUMAN kini menjadi perkataan yang semakin tabu di kalangan rakyat Malaysia pelbagai bangsa, budaya dan agama. Kedudukan sebagai negara pelbagai kaum yang hidup dalam suasana aman, damai dan makmur, adalah faktor yang menjadikan Malaysia begitu unik dan menjadi sebutan dunia. Tetapi ia kini bagaikan ‘duri dalam daging’. Tragedi 13 Mei 1969, akan terus terpahat di minda, betapa gara-gara pertelingkahan antara kaum bukan saja menjadikan negara menjadi huru-hara dan diisytihar darurat, bahkan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra, terpaksa melakukan pengorbanan terbesar - melepaskan jawatan demi kesejahteraan rakyat tercinta.
Hikmahnya ialah penggubalan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang mempunyai matlamat serampang dua mata iaitu membasmi kemiskinan tanpa mengira kaum dan menstruktur semula semua masyarakat. Mengimbas kembali sejarah, tokoh veteran Umno, Tengku Razaleigh Hamzah, yang turut terbabit dalam penggubalan DEB berkata, kedua-dua matlamat dasar ini sebenarnya tidak pernah membabitkan isu perkauman, sebaliknya bertujuan untuk memberi agihan kekayaan sama rata kepada semua kaum di negara ini. “Ketika penggubalan dasar ini semua pihak termasuk pembangkang, malahan Lim Kit Siang turut terbabit.
“Hakikat yang perlu diketahui semua pihak ialah matlamat untuk membasmi kemiskinan dan menstruktur semula masyarakat membabitkan semua kaum, bukan sekadar membantu kaum Melayu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. Isu DEB memang selalu menjadi perdebatan hangat terutama di kalangan bangsa bukan Melayu yang berasa dasar itu hanya memihak dan memberi kelebihan kepada Bumiputera, berikutan sasaran memiliki 30 peratus daripada kekayaan ekonomi negara. Bangsa lain selalu gagal atau enggan mengkaji fakta bahawa kewujudan DEB adalah kesan daripada tragedi 13 Mei. Tujuan utamanya ialah untuk mengurangkan jurang kekayaan antara bangsa Cina yang menguasai bidang ekonomi negara sehingga hari ini dengan bangsa Melayu, anak pribumi yang sebelum 1970-an hidup dalam suasana bagai ‘merempat di bumi sendiri’. Selepas tiga dekad DEB dilaksanakan, rakyat pelbagai kaum kembali bersatu dan hidup dalam suasana aman, damai dan makmur, manakala Malaysia sendiri membangun dan berkembang sehingga menjadi sebuah negara yang disegani masyarakat antarabangsa.
Kerajaan Barisan Nasional (BN) menamatkan dasar itu pada 1990 dan menggantikannya dengan Dasar Pembangunan Nasional (DPN). DEB berjaya mengurangkan jurang ekonomi yang wujud terutama antara Melayu dan Cina, tetapi masih belum mencapai sasaran 30 peratus yang ditetapkan. Bagaimanapun, perasaan prejudis dan iri hati melihat bangsa Melayu semakin mampu untuk duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan bangsa lain, menyebabkan ada pihak mengapi-apikan kemarahan bangsa lain sehingga wujud frasa ‘rakyat kelas kedua’. “Apabila melihat bangsa Melayu semakin maju dan boleh berjaya terutama dalam bidang perdagangan, wujud golongan tidak puas hati yang kemudian membakar kemarahan bangsa lain dengan melonjakkan isu perkauman. “Apa yang mereka lupa ialah bangsa Cina masih menguasai lebih 70 peratus ekonomi negara ini, malahan projek yang diperoleh usahawan Melayu akhirnya lebih banyak diagihkan kepada bangsa lain,” kata bekas Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Aziz Shamsuddin. Hari ini, ramai orang lupa sejarah, manakala tidak ramai generasi baru mengetahui bahawa jurang kekayaan yang amat luas antara Melayu dan Cina, adalah punca utama berlaku tragedi 13 Mei 1969. Justeru, krisis hubungan antara kaum yang berlaku hari ini, sehingga ada yang mencadangkan diwujudkan Akta Hubungan Antara Kaum, mencetus keresahan dan kebimbangan di jiwa rakyat, memberi kesan serius kepada pelabur asing serta menjejaskan imej Malaysia di gelanggang antarabangsa. Tindakan mempolitikkan isu perkauman hanya memburukkan keadaan. Perlu diingatkan semula bahawa keindahan dan keunikan Malaysia sebagai sebuah negara yang sedang menuju status negara maju selama ini adalah hasil daripada semangat setia kawan dan kerjasama antara antara kaum. Sikap telus dan keterbukaan yang menjadi amalan kerajaan BN sejak akhir-akhir, patut dijadikan pentas untuk meleraikan isu perkauman dengan lebih waras dan bijak, bukannya mengambil kesempatan untuk menyemarakkan perasaan perkauman sesama rakyat. “Suka atau tidak, Melayu memang bangsa pribumi. Orang Melayu sudah menerima hakikat bahawa mereka perlu banyak beralah, mengagihkan kekayaan dan kuasa kepada bangsa lain. “Kerana itu, tidak ada sebab bangsa lain untuk berasa mereka dilayan bagai warga kelas kedua, kerana tidak pernah ada sekatan dalam memiliki kekayaan di negara ini. Malah, dalam senarai 10 orang terkaya di Malaysia sekarang ini hanya satu saja nama Melayu,” kata seorang tokoh politik lain. Katanya, hak dan layanan istimewa bangsa Melayu yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan, kini hanya sekadar di atas kertas dan ia langsung tidak menyekat mana-mana bangsa lain untuk mengaut kekayaan yang ada di bumi bertuah ini. Justeru, tindakan kumpulan pendesak supaya kerajaan menghapuskan hak keistimewaan bangsa Melayu dan memberi hak sama rata kepada bangsa lain hanya akan mencetuskan kemarahan orang Melayu dan jika tidak dibendung dengan sebaik mungkin, ia mungkin boleh menjadi barah. Setiap kaum mempunyai isu dan kemelutnya sendiri. Bagaimanapun, setiap kaum itu mempunyai pemimpin dan pentas tersendiri untuk meleraikan sebarang masalah. Bagi kerajaan BN, kewujudan parti komponen yang mewakili semua kaum di negara ini adalah resipi terbaik untuk terus menjaga hubungan antara kaum selama ini. Kejayaan semakin terserlah selepas tragedi 13 Mei.

Sunday, December 21, 2008

Siapa peduli akhbar Melayu?

Selepas Pilihan Raya Umum ke 12 (PRU 12) Mac lalu, kedudukan politik Melayu kelihatan sedikit tergugat. Berikutan dengan itu beberapa isu yang melibatkan soal kepentingan orang Melayu seperti kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi turut dipersoalkan. Kelantangan pihak tertentu mempersoalkan banyak perkara yang berkaitan dengan orang Melayu semakin bertambah selepas PRU 12 dianggap sebagai indikator kelemahan politik Melayu.

Kita boleh memberikan apa saja alasan untuk menafikan hujah di atas. Tetapi pada masa yang sama kita terpaksa menerima hakikat bahawa politik Melayu adalah teras kepada sosio-politik negara ini. Bergolaknya politik Melayu, kesannya akan kelihatan kepada banyak perkara lain yang mempunyai kaitan secara langsung dengan politik dan kedudukan orang Melayu.

Bahasa rasmi negara ini dipelekehkan oleh pihak tertentu bukanlah perkara baru. Bahasa Melayu bukan bahasa orang Melayu tetapi bahasa rasmi yang sewajarnya digunakan oleh seluruh rakyat. Tetapi disebabkan ketidakupayaan politik Melayu menjadi teras sosio-politik negara ini, bahasa Melayu dilihat hanya bahasa orang Melayu. Dalam kalangan orang Melayu pula dipecahkan lagi apabila ada sesetengah Melayu elit yang mendakwa kedudukan mereka tidak sesuai dengan bahasa Melayu.

Media Melayu menjadi indikator paling jelas untuk melihat situasi sebenar kedudukan bahasa dan politik Melayu. Media Melayu khususnya akhbar mendepani masalah yang sangat serius berbanding akhbar bahasa Cina dan Inggeris. Pendapatan iklan oleh akhbar Melayu secara kolektifnya jauh lebih kecil daripada kolektif akhbar berbahasa Cina. Masalah yang dihadapi oleh akhbar-akhbar Melayu sewajarnya tidak berlaku apabila bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi yang memerlukan semua rakyat, tidak kira apa bahasa ibunda mereka akan menggunakan bahasa Melayu sebagai alat perhubungan. Tetapi malangnya teori ini tidak berlaku sama sekali.

Baiklah, cuba kita lihat dengan sewaras yang mungkin beberapa perkara yang sepatutnya meletakkan akhbar bahasa Melayu di barisan depan di segi pengaruh.

Bahasa Melayu telah diberi kedudukan penting dalam Perlembagaan sejak setengah abad lalu sebagai bahasa rasmi. Dengan kata lain tidak ada seorang pun yang mengaku rakyat negara ini tidak faham bahasa Melayu, selepas setengah abad diangkat sebagai bahasa rasmi. Secara teorinya kaum pendatang generasi pertama sudah tiada lagi. Generasi selepasnya dilahirkan di negara ini dipayung oleh Perlembagaan sebagai rakyat negara ini. Dan dalam Perlembagaan menyebut bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Kita lihat pula Dasar Pendidikan Kebangsaan yang sudah lebih 30 tahun dilaksanakan. Antara yang mendukung Dasar Pendidikan Kebangsaan ialah pengantar dalam bahasa Melayu dan subjek bahasa Melayu menjadi teras dalam peperiksaan. Ini juga menyokong hujah kita bahawa bahasa Melayu mesti difahami oleh semua peringkat dan kaum. Hujah ini ditambah pula dengan satu bancian yang menunjukkan negara ini dihuni oleh 13 juta orang Melayu.

Dihujah

Faktor-faktor yang dihujah di atas tadi menunjukkan tidak ada sebab akhbar Melayu tidak mampu menyaingi akhbar bahasa Cina misalnya untuk mencatat market share yang lebih besar dalam pendapatan iklan. Jualan akhbar Melayu secara kolektifnya (Mingguan Malaysia, Utusan Malaysia, Berita Minggu, Berita Harian, Harian Metro dan Kosmo) mencatatkan sekitar 1.4 juta naskhah sehari atau purata pembaca sebanyak 8.5 juta sehari. Sementara akhbar berbahasa Cina yang terdiri daripada Sin Chew Daily, Nanyang Siang Pau, Kwong Wah Yit Poh, China Press dan Guang Ming Daily mencatatkan purata edaran lebih kurang 900,000 naskhah sehari atau 2.5 juta pembaca. Tetapi adakah kalangan politik Melayu sedar bahawa kolektif akhbar Melayu hanya mencatatkan market share pendapatan iklan hanya lebih kurang 13 peratus daripada peruntukkan lebih RM2.3 bilion untuk media cetak?

Pertanyaan saya, selebihnya ke akhbar mana? Di mana kekuatan politik Melayu apabila akhbar Melayu dianggap kelas tiga di negara yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi? Media bahasa Melayu khususnya akhbar memikul tanggungjawab sosial yang sangat besar, bukan saja kepada orang Melayu malah semua kaum supaya menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian. Tetapi tugas besar ini tidak mungkin dapat dilaksanakan sekiranya tiada kesedaran daripada kalangan Melayu dan bukan Melayu untuk melihat bahasa Melayu melampaui bahasa semata-mata.

Untuk pengetahuan, bahasa Cina bukanlah bahasa rasmi atau bahasa kedua. Bahasa Cina tidak diperjuangkan kedudukannya dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. Lalu, di mana peranan 60 peratus orang Melayu yang bertutur dan membaca dalam bahasa Melayu dalam konteks pengaruh akhbar Melayu? Pengedaran kolektif akhbar bahasa Cina jauh lebih kecil berbanding kolektif akhbar Melayu, begitu juga jumlah pembacanya. Persoalannya kenapa akhbar Melayu belum mampu menyakinkan pengiklan tentang pengaruhnya yang besar apabila hanya mencatatkan market share 13 peratus daripada peruntukkan kepada media cetak?

Di mana peranan kalangan politik Melayu untuk melihat permasalahan akhbar-akhbar Melayu secara mikro khususnya daripada perspektif sosio-politik? Kurangnya pengaruh akhbar Melayu kepada pengiklan memperlihatkan kurangnya pengaruh politik Melayu di negara ini. Akhbar dalam konteks perbincangan sosio-politik negara ini bukan lagi sama seperti produk sabun basuh atau pencuci lantai. Maka apabila akhbar Melayu tidak mampu memperlihatkan pengaruh menjadi agenda setter dalam ekonomi misalnya, kegagalan ini bukanlah ditanggung oleh syarikat yang menerbitkan akhbar berkenaan semata-mata. Ini sebahagian daripada kegagalan kuasa politik Melayu untuk meletakkan sesuatu yang ada kaitan langsung dengan kedudukan bahasa Melayu dalam Perlembagaan.

Peliknya sesetengah pihak pula mudah percaya dengan dakwaan para pengiklan bahawa akhbar-akhbar Melayu hanya dibaca oleh orang Melayu, terlalu Malay centric dan lebih malang lagi akhbar Melayu majoriti pembacanya orang kampung, atau dalam kata lain sifatnya kekampungan. Maka hujah mereka, akhbar Melayu tidak sesuai dengan urbanisasi yang menjadi sasaran pengiklan.

Statistik

Tetapi persepsi itu tidak benar sama sekali kerana statistik menunjukkan tidak sampai 30 peratus edaran akhbar-akhbar Melayu di kawasan luar bandar. Ini bermakna sekurang-kurang 70 peratus pengedaran akhbar Melayu di bandar terutama di Lembah Kelang. Urbanisasi yang bagaimana lagi dimahukan oleh pengiklan?

Penguasaan akhbar Melayu di kawasan bandar tidak boleh dinafikan lagi. Malah kalangan pembaca akhbar Melayu mempunyai profil sebagai kuasa pembeli yang tinggi. Tetapi pengiklan seolah-olah tidak yakin akhbar Melayu boleh menyampaikan mesej kepada khalayak tentang produk mereka.

Sebenarnya ini bukan perspektif perniagaan tetapi politik. Kalau daripada perspektif perniagaan, para pengiklan pasti memilih akhbar-akhbar Melayu sebagai keutamaan mereka kerana akhbar-akhbar Melayu memenuhi apa yang diperlukan pengiklan. Untuk menyebarluaskan produk yang hendak diiklan, pengiklan akan memilih media yang mempunyai edaran yang besar, pembaca yang banyak dan profil pembaca yang terdiri daripada mereka yang mempunyai kuasa membeli yang tinggi. Sayugia diingatkan kolektif akhbar-akhbar Melayu mempunyai semua perkara yang diperlukan oleh pengiklan. Tetapi pengiklan tetap juga memilih akhbar berbahasa Cina dan selebihnya Inggeris. Kenapa?

Maka jelaslah nasib akhbar-akhbar Melayu bukan saja tanggungjawab penerbitnya. Dilema akhbar Melayu mencerminkan keadaan sosio politik yang pengaruh Melayunya tidak menonjol. Malah seolah-olah kesulitan yang diredah oleh akhbar-akhbar Melayu tidak dipedulikan oleh sesiapa. Kita tidak mahu tragedi "penutupan" Utusan Melayu, satu-satunya akhbar aksara Jawi enam tahun lalu berlaku kepada akhbar Melayu aksara Rumi.

Sekiranya setiap pejabat kerajaan dan sekolah di seluruh negara melanggan dua naskhah akhbar Utusan Melayu Jawi setiap hari, jangka hayat Utusan Melayu pasti lebih panjang. Tetapi siapa peduli Utusan Melayu? Siapa tokoh politik Melayu yang berfikir tentang satu-satunya akhbar aksara Jawi itu di negara ini akhirnya terpaksa mengalah kerana tuntutan perniagaan?

Akhbar Melayu pula yang selalu dilihat dengan penuh prasangka apabila memperjuangkan isu-isu yang melibatkan kedudukan orang Melayu. Padahal perjuangan itu hanya menegakkan hak dalam Perlembagaan tanpa mengambil hak kaum lain. Tetapi ada pihak dengan mudah melabelkan akhbar Melayu sebagai perkauman apabila akhbar Melayu memperjuangkan Melayu yang tertindas. Tetapi akhbar Melayu tidak pernah mempersoalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) walaupun menerusi DEB orang bukan Melayu memperoleh ekuiti lebih tiga kali ganda daripada orang Melayu.

Kalangan ahli politik bukan Melayu tidak mempersoalkan akhbar bukan bahasa Melayu yang menyemarakkan sentimen kaum misalnya apabila RTM memendekkan siaran Berita Mandarin baru-baru ini. Dalam perkara ini orang Melayu juga mesti berubah sikap, jumlah penerbitan akhbar bahasa Cina jauh lebih besar dari akhbar Melayu dan mencatatkan pengedaran yang juga besar. Kita sendiri boleh bayangkan sikap sesetengah orang Melayu hingga satu akhbar aksara Jawi pun tidak mampu dipertahankan. Ketika Utusan Melayu ditutup, terbit sebuah akhbar bahasa Cina yang baru, Oriental Daily. Orang Melayu perlu menyalahkan diri sendiri bukan syarikat yang menerbitkan Utusan Melayu.

Politik Melayu mesti meletakkan dirinya sebagai agenda setter, bukan saja menyelesaikan kemelut akhbar Melayu tetapi yang penting semua yang melibatkan Melayu seperti dalam Perlembagaan. Media dan politik mesti berjalan seiringan untuk membetulkan persepsi serong bahawa apa saja kaitkan dengan "Melayu" hanya untuk orang Melayu. Sekali lagi pertanyaan saya, siapa yang mengendahkan semua ini?

Rakyat lega cadangan ambil alih IJN ditangguh

PENGUMUMAN Sime Darby Bhd untuk mengambil alih 51 peratus ekuiti dalam IJN Holdings Sdn Bhd Rabu lalu, syarikat pengendali Institut Jantung Negara (IJN) yang terletak di Jalan Tun Razak bersebelahan Hospital Kuala Lumpur (HKL), mengundang persoalan dan keresahan terutama mengenai kebajikan rakyat berpendapatan rendah.

Sime Darby menyatakan pengambilalihan itu bertujuan mengukuhkan bahagian perkhidmatan kesihatan konglomerat milik kerajaan itu.



Berikutan itu, pengumuman penangguhan pengambilalihan kepentingan IJN oleh syarikat perladangan itu oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelmarin, melegakan banyak pihak.

Mengikut pemahaman umum, pengambilalihan berkenaan dijangka menyebabkan kenaikan kos rawatan dan perkhidmatan yang meningkat seperti ditawarkan hospital swasta di negara ini.

Walaupun ada berpendapat apa yang ditawarkan hospital swasta lebih baik daripada kerajaan, namun, bagi yang kurang berkemampuan, wang menjadi ukuran.

Maka dengan itu, golongan berpendapatan rendah ini mengharapkan IJN bagi mendapatkan rawatan terbaik, termasuk pembedahan subsidi yang diberikan kerajaan.

Melihat kepada track record IJN, ia bukan hanya cemerlang memberikan rawatan berkaitan penyakit kardiovaskular di negara ini malah mencatat kejayaan dengan membuat beberapa rekod baru di peringkat antarabangsa.

Ditubuhkan pada 1992 dan diurus IJN Holdings, iaitu syarikat milik penuh Kementerian Kewangan, ia dibangunkan bagi memenuhi keperluan pesakit jantung dengan menyediakan perkhidmatan kardiologi dan pembedahan kardiotorasik untuk pesakit dewasa dan kanak-kanak. IJN juga menjadi pusat rujukan kebangsaan bagi penyakit kardiovaskular.

Sejak ditubuhkan, institut itu menerima lebih sejuta pesakit dengan 131,000 pesakit dirawat di wad dan dalam tempoh 16 tahun, 35,000 pembedahan dijalankan dan daripada jumlah itu, 24,000 membabitkan kes pembedahan jantung terbuka.

IJN juga mencatat kejayaan pada peringkat antarabangsa dalam melakukan pembedahan endoskopi yang pertama di rantau Asia dan Australasia bagi merawat fibrilasi atrium.

Kejayaan IJN disusuli apabila ia menjadi satu-satunya pusat rawatan jantung di Asia Pasifik yang terpilih untuk pelancaran secara langsung prosedur kardiologi intervensi pada Persidangan Euro Pcr05 yang berprestij di Paris, Perancis dan menjadi institut pertama di dunia melakukan pembedahan jantung insisi poket yang menggunakan pembaikan atau penggantian injap mitra port jantung.

Melihatkan kejayaan IJN, sudah tentu ramai yang mengintai peluang untuk memilikinya sebagaimana dihasratkan Sime Darby yang kini memiliki Pusat Perubatan Pakar Subang Jaya (SJMC).

Kebimbangan dan kekhuatiran rakyat berkenaan pengambilalihan berakhir kelmarin dan ramai yang memuji kerajaan kerana prihatin dengan nasib rakyat terutama golongan yang kurang berkemampuan.

Ada suara nakal menyatakan keputusan kerajaan itu ada kaitan dengan pilihan raya kecil Kuala Terengganu, Januari depan bagi meraih sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN).

Namun, ia disangkal Najib kerana pertimbangan kerajaan mengenai penangguhan pengambilalihan itu mengambil kira kesulitan dan rintihan rakyat.

Najib yang juga Menteri Kewangan menegaskan penangguhan keputusan berhubung cadangan pengambilalihan IJN Holdings itu tidak ada kena mengena dengan pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu bulan depan, sebaliknya untuk kepentingan rakyat.

"Ia ditangguhkan sehingga kajian mendalam itu dijalankan, mungkin memakan masa beberapa bulan tetapi faktor masa itu bukanlah sesuatu yang penting.

"Apa yang lebih penting ialah keputusan yang akan dibuat nanti akan benar-benar menguntungkan rakyat dan dapat membangunkan IJN sebagai pusat jantung yang bertaraf dunia," katanya

Mengimbau persetujuan kerajaan terhadap pengambilalihan Sime Darby itu, ia dengan syarat tanggungjawab sosial IJN tidak dipinggirkan atau dikurangkan sama sekali. Malah, kerajaan memberi jaminan akan terus memberi sumbangan untuk pembedahan di IJN, walaupun selepas pengambilalihan oleh konglomerat itu.

Selain itu, pada mata kerajaan tiada salahnya mengenai penswastaan IJN kerana sebarang kemungkinan akan berlaku 10 tahun akan datang terutama jika jumlah pesakit jantung semakin meningkat dan institusi itu tidak lagi boleh berperanan sebagai biro pengaduan pesakit miskin.

Suara menentang pengambilalihan itu diluahkan pelbagai pihak persatuan perubatan serta badan bukan kerajaan (NGO) yang berpendapat status pusat perubatan itu dikekalkan bagi memastikan objektif asal penubuhannya bagi mewujudkan pusat perubatan kerajaan dengan kemudahan serta pakar kelas pertama bertujuan merawat semua golongan rakyat, tidak tersasar.

Mereka yang nyata gembira dengan keputusan terbaru kerajaan itu mahu kerajaan bukan hanya menangguhkan tetapi membatalkan terus hasrat menswastakan IJN.

Ketua Eksekutif Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata kerajaan seeloknya membatalkan terus hasrat menswastakan IJN demi kepentingan rakyat.

“Usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan dan rawatan IJN bukan terletak kepada penswastaan semata-mata. Ada cara lain lebih baik serta memberi manfaat kepada penerima rawatan di institut berkenaan terutama golongan miskin,” katanya.

Perkara itu diakui Presiden Persatuan Perubatan Doktor Utama Malaysia (Pcdom), Dr Molly Cheah yang percaya tindakan menswastakan IJN hanya mengundang keresahan di kalangan rakyat untuk mendapatkan rawatan terbaik pada kos yang tidak membebankan.

“Persoalannya mengapa Sime Darby Berhad tiba-tiba berminat kepada sektor kesihatan sedangkan kepakaran syarikat berkenaan bukannya dalam sektor ini. Ini menimbulkan kekeliruan sama ada tindakan Sime Darby ini sebenarnya didorong daripada industri pelancongan kesihatan yang semakin berkembang pesat khususnya di rantau ini,” katanya yang lega apabila penswastaan itu ditangguhkan.

Presiden Cuepacs, Omar Osman menyatakan kerajaan prihatin dengan nasib rakyat kerana menangguhkan penswastaan berkenaan.

“Ini membuktikan kerajaan meneliti semula objektif penubuhan institut ini, memberi rawatan berkualiti tinggi dengan kos tidak membebankan kepada golongan rakyat tidak berkemampuan,” katanya.

Berikutan keputusan kerajaan menangguhkan keputusan itu, Dekan Fakulti Ekonomi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Mohd Fauzi, Jani berkata kerajaan mengambil keputusan bijak kerana IJN adalah institusi tunggal yang menawarkan perkhidmatan kesihatan berkaitan penyakit kardiovaskular dan seumpamanya.

Justeru, katanya kerajaan mengambil kira wujud monopoli dan apabila diswastakan ia akan menyebabkan syarikat yang mahu mengambilalih IJN akan memikirkan keuntungan berbanding tanggungjawab sosial.

“Itu sebab kerajaan menyatakan menangguhkan cadangan pengambilalihan bukannya membatalkan terus hasrat menswastakan institusi berkenaan,” katanya.

Beliau berkata, keputusan awal untuk menswastakan IJN adalah kerana memikirkan bebanan yang ditanggung akibat permintaan terhadap IJN yang semakin bertambah setiap tahun.

Katanya, kerajaan percaya penswastaan itu penting apabila mereka tidak lagi mampu menanggung kos perkhidmatan kesihatan yang diberikan sebagaimana berlaku dalam penswastaan hospital.

“Kira-kira 15 tahun lalu, kerajaan mula membuka polisi membenarkan hospital diswastakan dan penubuhan hospital swasta bagi mengurangkan kos kerajaan. Namun, bukan semua hospital di swastakan kerana masih mengambil kira golongan rakyat berpendapatan rendah.

“Maka, kini di Malaysia ada dua perkhidmatan kesihatan iaitu satu dimiliki kerajaan dan satu lagi swasta. Bagi mereka yang mempunyai pendapatan besar dan berkemampuan, sudah tentu mahukan perkhidmatan eksklusif dan cepat yang menuntut mereka memilih hospital swasta.

“Bagi golongan berpendapatan rendah, mereka masih terus menikmati perkhidmatan kesihatan percuma atau bayaran serendah RM1, menerusi klinik kesihatan komuniti dan hospital kerajaan,” katanya.

Pendapat yang sama turut dinyatakan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang menyatakan penswastaan itu bukan satu idea yang baik memandangkan institut itu “adalah badan amal yang unik" berdasarkan kepada prestasinya yang cemerlang setakat ini.

“Setakat ini tiada aduan mengenai IJN. Mereka sudah menunjukkan prestasi cemerlang. Berkhidmat kepada yang kaya dan miskin. Semua orang mendapat manfaat daripada IJN termasuk saya sendiri,” katanya.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Datuk Dr Khoo Kah Lin mengalu-alukan keputusan terbaru kerajaan menangguhkan pengambilalihan IJN dan mahu kerajaan mendapatkan maklum balas serta pandangan orang ramai dan NGO sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kami bimbang apabila syarikat swasta ambil alih, kebajikan golongan miskin akan diketepikan dan mereka mungkin tidak mendapat rawatan perubatan pada kadar rendah. Kami prihatin kerana pada akhirnya dalam apa juga keadaan, perkara pokok adalah membuat untung kerana mereka perlu menjawab kepada pemegang saham, mereka tidak boleh mencatat kerugian.

“IJN adalah mutiara bagi pesakit jantung di negara ini... ia senang didekati pesakit jantung yang miskin,” katanya.

Mengenai desakan dalaman terutama kakitangan IJN yang mahukan penswastaan diteruskan, bagi membolehkan mereka mendapat gaji lebih tinggi dan pakar perubatannya akan meninggalkan hospital berkenaan jika permintaan supaya gaji mereka dinaikkan tidak dipenuhi adalah taktik sengaja direka pihak berkepentingan yang sebenarnya mahu pengambilalihan menjadi kenyataan.

IJN dalam kenyataannya kelmarin menafikan dakwaan berkenaan dan tidak mahu pandangan negatif dilemparkan terhadap kakitangan.

“Ia perlu diperbetulkan supaya pakar perubatan atau kakitangan IJN tidak dipandang serong masyarakat tempatan mahupun antarabangsa, apatah lagi ia mampu menjatuhkan reputasi cemerlang mereka, di samping menggugat keyakinan rakyat,” katanya.

Thursday, December 18, 2008

Elakkan kenyataan beremosi ketika hadapi tragedi

PELBAGAI berita kita dengar berlaku di tapak kejadian tanah runtuh yang meranapkan 14 banglo dan meragut empat nyawa di Bukit Antarabangsa, sejak Sabtu lalu. Kadang-kala kita mendengar berita yang kurang enak seperti berlaku kecurian di banglo yang terpaksa ditinggalkan penghuninya, ada pegawai pasukan penyelamat dikatakan melemparkan kata-kata yang tidak sepatutnya dan ada juga mangsa mendakwa pihak pasukan penyelamat tidak serius membantu mereka. Kita tidak tahu sejauh mana kebenaran semua kata-kata itu. Hanya mereka terbabit dan yang mendengar sendiri kata-kata seperti itu boleh membuat rumusan tersendiri berdasarkan senario ketika kejadian. Kita akui dalam keadaan kelam-kabut apatah lagi ketika operasi mencari dan menyelamat dijalankan, apa saja boleh berlaku terutama membabitkan soal emosi di kalangan ahli keluarga mangsa dan petugas pelbagai agensi termasuk polis, bomba dan anggota sukarela. Kita memahami perasaan mangsa, terutama apabila ahli keluarga belum ditemui seperti berlaku pada Sabtu lalu. Misalnya, laporan sebuah akhbar berbahasa Cina menyebut seorang lelaki yang kehilangan isteri mendakwa dihulurkan cangkul oleh pasukan menyelamat untuk mencari sendiri ahli keluarganya yang tertimbus sejurus selepas kejadian Sabtu lalu. Sekali lagi kita tidak pasti sejauh mana kebenaran ini berlaku. Kadang-kala dalam keadaan sedemikian, emosi semua pihak yang terbabit agak tinggi.

Bayangkan, anggota pasukan penyelamat bertungkus lumus untuk mencari mangsa dan mereka juga – yang sudah pasti berpengalaman – tidak boleh sewenang-wenangnya meredah ke ruang banglo yang tertimbus kerana perlu juga memikirkan soal keselamatan diri. Secara amnya, dalam situasi begitu, kita tidak boleh 'memaksa' mereka untuk melakukan sesuatu yang melebihi had keselamatan diri dan jika kita 'paksa' juga, maka sebagai manusia biasa emosi mereka akan turut terganggu yang akhirnya diluahkan melalui kata-kata sindiran atau tindak balas. Kita sebenarnya tidak pasti apa yang mendorong anggota penyelamat yang dikatakan memberi cangkul kepada lelaki terbabit, jika ia benar-benar berlaku. Demikian juga mengenai dakwaan seorang mangsa mengenai tindakan seorang pegawai yang mengeluarkan kata-kata 'bodoh' sebagai merujuk kepada tindakan mereka membeli rumah di kawasan itu. Semua pihak sepatutnya mengawal emosi untuk tidak mengeluarkan kata-kata yang boleh menyinggung perasaan sama ada di pihak pasukan penyelamat atau mangsa. Sepatutnya kita semua menghargai tenaga bakti dicurahkan pasukan penyelamat yang berkorban masa dan tenaga untuk membantu mangsa. Bayangkan, Unit Udara Polis sanggup membahayakan diri dan beroperasi ketika waktu hujan demi membantu dan menyelamatkan mangsa terperangkap baru-baru ini. Kita memahami tekanan perasaan dialami mangsa dan ahli keluarga yang hidup mereka kini terumbang-ambing berikutan tiada tempat untuk tinggal selepas kawasan perumahan yang didiami sejak belasan tahun belum diisytiharkan selamat untuk didiami. Yang penting, semua pihak saling memahami perasaan, tugas dan had kesabaran masing-masing. Mengenai dakwaan berlaku kecurian, kita serahkan kepada pihak polis untuk menyiasat.