Thursday, December 18, 2008

Politik sindir, ugut

Melihat kera berkeliaran di Kebun Bunga, teringat isu kera yang dibangkitkan di Dewan Rakyat baru-baru ini. Isu itu mulanya dibangkitkan oleh wakil BN Sabak Bernam, Abdul Rahman Bakri. Dan selepas dijawab oleh timbalan menteri, seorang ahli Parlimen DAP, tiba-tiba mencelah. Dr. P Ramasamy yang juga Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang menggelar ahli Parlimen BN sebagai kera. Lebih mendukacitakan, kata-kata yang dilontarkan oleh pemimpin itu disiarkan di televisyen tetapi mujurlah beberapa wakil rakyat BN bingkas bangun memintanya menarik balik kenyataan itu. Memang tidak patut ungkapan seperti itu dikeluarkan. Ramasamy akur dan menarik balik. Walaupun ditarik balik tetapi kata-kata seperti itu bukannya seperti kita terlajak perahu. Tetapi terlajak kata. Ia memang tidak manis didengar. Sudah tersebar luas. Inilah keburukannya apabila disiarkan secara langsung. Memanglah program itu menarik tetapi apabila melihat tingkah laku wakil-wakil rakyat yang tak habis-habis mengambil kesempatan untuk menarik perhatian, ia amat memualkan.

Kesempatan

Tidak apa mengambil kesempatan untuk membangkitkan pelbagai masalah rakyat atau mengkritik kerajaan tetapi biarlah secara berhemah. Kenapa perlu membuat pelbagai kenyataan atau sindiran yang boleh menimbulkan kemarahan orang lain? Kenapa perlu ada perkataan-perkataan yang tidak enak didengar? Sejak Parlimen bersidang selepas pilihan raya umum lalu, rasanya inilah penggal persidangan yang panas dengan pelbagai kata dan gelaran tidak manis. Apakah ini yang dikatakan sebagai Parlimen kelas pertama? Atau adakah kita belum hebat selagi tidak sampai ke tahap wakil rakyat bertumbuk di dalam Dewan Rakyat? Itu isu pertama yang ingin disentuh mengenai kata-kata tidak manis di Dewan Rakyat apabila melihat para pelancong 'melayani' kera di Kebun Bunga.

Itu cerita kera dan suasana di Dewan Rakyat selepas pilihan raya umum lalu. Mujurlah Yang Dipertua Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia seorang yang sabar. Jika tidak, mungkin penyandang jawatan itu akan silih berganti.

Satu lagi kerenah selepas pilihan raya umum lalu ialah kekerapan parti-parti komponen BN mengamalkan politik ugutan. Selepas Mac lalu, banyak kenyataan berunsur ugutan dikeluarkan. Sehingga kadang kala, ada pemimpin yang sudah hilang sabar. Contohnya kenyataan tegas Naib Presiden UMNO, Ali Rustam kelmarin. Beliau menyifatkan Parti Progresif Rakyat (PPP) sebagai liabiliti kepada BN berikutan tindak tanduknya yang bertentangan dengan dasar-dasar BN. Salah satu dasar yang dikritik hebat ialah mengenai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Kata Ali, BN tidak akan rugi jika PPP keluar daripada BN kerana ia terlalu banyak mengkritik dasar kerajaan. Sebenarnya BN tidak menghalang kritikan tetapi jangan sampai bertindak sesuatu yang boleh membelakangi semangat permuafakatan. Tidak perlu kita membiarkan gunting dalam lipatan, duri dalam daging atau musuh dalam selimut.

Satu lagi ingatan jangan ghairah mengeluarkan kenyataan sama ada melalui media cetak dan elektronik. Jangan cakap ikut sedap mulut dengan harapan apa yang dilontar bakal mendapat tempat dalam media. Akhirnya cakap-cakap yang tidak ditapis itu menimbulkan pelbagai tanggapan negatif lebih-lebih lagi di kalangan rakan-rakan dalam komponen. Maka ketika itu, mulalah mereka membuat penafian dan menyalahkan media yang tidak memahami maksud yang diucapkan.

Justeru seperti ingatan Pengerusi BN, Abdullah Ahmad Badawi semalam, cara BN ialah membincangkan isu-isu yang berbangkit sesama rakan seperjuangan bagi mencari penyelesaian terbaik demi masa depan rakyat dan negara.

"Kadang-kadang kita terlupa yang rakyat memerhati kita dan tidak senang hati dengan apa yang berlaku," kata Abdullah.

Dan kepada ahli-ahli Parlimen yang berpeluang muncul di televisyen ketika sidang Dewan Rakyat, ingatlah tingkah laku anda sedang diperhatikan.

No comments: