Tuesday, January 6, 2009

Palestin jadi setinggan

ADALAH amat mendukacitakan dunia, apabila kalender 2009 dimulai dengan tragedi tragis serangan kejam Zionis ke atas Palestin. Serangan ganas rejim Zionis ke atas wilayah Palestin di Gaza dilihat sebagai satu pencabulan hak asasi terbesar dunia.

Tindakan untuk memencilkan Gaza selama 19 bulan telah menyebabkan runtuhnya sistem asasi masyarakat Palestin.

Gaza telah dinafikan hak bagi mendapat keperluan kehidupan sama ada dari segi bekalan makanan, tenaga, malahan kediaman penduduk dimusnahkan Israel.

Akibatnya, dengan alasan bahawa tindakan tersebut sebenarnya ditujukan kepada Hamas yang mengetuai pentadbiran Gaza, secara langsung keseluruhan penduduk Gaza dihukum secara kolektif. Kanak-kanak, remaja, wanita serta warga emas dan orang awam turut menjadi mangsa percaturan untuk memusnahkan survival Palestin secara tersusun oleh Israel.

Israel dilihat sejak 60 tahun dahulu mensasarkan strategi bagi memusnahkan survival yakni keupayaan untuk hidup supaya akhirnya rakyat Palestin mencari jalan singkat dengan bertindak keluar dari wilayah Palestin dan berhijrah ke negara-negara Arab yang berjiran dengannya.

Dasar yang dilakukan Israel ini menunjukkan kecekapan Israel untuk memastikan demografi masyarakat Yahudi melebihi masyarakat Arab di setiap kawasan Palestin yang diduduki. Tujuan akhirnya, dengan pembentukan demografi majoriti Yahudi, tiada alasan bagi dunia untuk menidakkan hak masyarakat Yahudi untuk terus menetap di kawasan Palestin yang diduduki Isreal.

Dengan tindakan ini, maka kawasan Palestin yang wujud semakin disempitkan, dan secara langsung wilayah Israel semakin meluas.

Percaturan Israel boleh dilihat pada setiap sasaran serangan dilakukan, pastinya kemudahan awam termasuk kediaman penduduk Palestin akan dimusnahkan. Bayangkan dalam kesengsaraan yang wujud kini, dan ditambah pula dengan desakan kehilangan rumah kediaman serta kemungkinan kehilangan keluarga, pastinya Palestin akan terus dilanda dilema untuk menempatkan mangsa kemusnahan akibat serangan Israel pastinya memerlukan kos yang tinggi.

Wujud

Dalam kes jenayah hak asasi yang dilakukan secara tersusun oleh rejim Zionis ke atas umat Palestin, gambaran jelas yang dapat difahami dunia ialah wujud percaturan untuk menjadikan Palestin sebagai negara setinggan selama-lamanya.

Secara geo politiknya, konflik yang sedang melanda Palestin di Semenanjung Gaza ini dilihat sebagai satu susulan kerajaan Israel untuk menutup kelemahan sistem ekonomi yang pasti tempiasnya turut dirasai oleh masyarakat Yahudi di Israel. Oleh itu diadakan satu peralihan isu dengan meletakkan sasaran keselamatan supaya tumpuan rakyat Israel bukan lagi ke arah melihat kelemahan Perdana Menteri Israel menguruskan ekonomi, tetapi lebih melihat kerajaannya sebagai 'penyelamat' kepada survival Israel.

Strategi menyerang Gaza yang dilakukan kini, dilihat menyamai seperti mana yang pernah dilakukan Barat diketuai AS ke atas Iraq apabila sekian lama Iraq dipulau dan disekat daripada menerima apa-apa bantuan asas termasuk makanan dan perubatan. Ia semata-mata bagi memenuhi agenda melemahkan aspek sosial penduduk dan diakhiri dengan serangan besar-besaran.

Tindakan untuk membiarkan hidup penduduk Gaza sengsara dilihat sebagai satu strategi melemahkan ketahanan penduduk Palestin dengan andaian bahawa rakyat di wilayah itu akan bangun memberontak terhadap pemimpin Hamas. Dan akhirnya apabila serangan dilakukan, para penduduk akan mendiamkan diri dengan tidak memberikan sokongan kepada pentadbir untuk mempertahankan kedaulatan wilayah mereka.

Inilah strategi yang digunakan ke atas Iraq selama bertahun-tahun dan akhirnya terbukti apabila serangan dilakukan, majoriti penduduk menidakkan sokongan mereka kepada Saddam Hussein. Namun, dalam konteks Palestin, kesengsaraan yang dialami bergenerasi selama 60 tahun, langsung tidak menggugat mereka dari berusaha untuk terus mempertahankan survival mereka di bumi Palestin.

Serangan ganas Israel ke atas Gaza juga dilihat sebagai sebahagian agenda kempen politik kerajaan pimpinan parti Kadima menjelang pilihan raya umum pada tahun ini untuk menonjolkan diri sebagai pejuang dan penyelamat survival Israel.

Dunia perlu mencabar kuasa besar Barat, termasuk AS dan sekutunya untuk bertindak sekurang-kurangnya memutuskan hubungan diplomasi dengan Tel Aviv sekiranya benar-benar mereka ikhlas dalam mendamaikan umat Palestin dan Israel.

Jika NATO boleh bertindak tegas ke atas kerajaan Serbia untuk menamatkan kesengsaraan ke atas Bosnia dan juga Kosovo, maka tidak mustahil Palestin juga mampu diselamatkan daripada kekejaman rejim Zionis.

Tragedi kemanusiaan di Gaza tidak boleh dibiarkan berlangsung tanpa sekatan antarabangsa.

Jika dunia masih gagal berusaha untuk mendamaikan Israel dan Palestin sejak 60 tahun lalu, kini masyarakat antarabangsa perlu mengguna cara memboikot segala kepentingan Israel dari segi diplomasi termasuk jaringan ekonomi, politik dan sosial.

Kegagalan dunia untuk bertindak tegas terhadap kegiatan kejam rejim Zionis telah menyebabkan Tel Aviv merasa selamat dengan sebarang tindakan yang dilakukannya terhadap sesiapa sahaja, terutamanya di bumi Palestin.

Dunia tidak harus membiarkan satu 'neo-holocoust' di abad ke-21 dilakukan oleh Israel ke atas umat Palestin tanpa sebarang ancaman dan tindakan konkrit yang mampu menginsafkan negara Yahudi tersebut.

No comments: