Friday, November 14, 2008

Nazri: 6 hakim memang dipecat

Nov 13, 08 3:36pm
Pembayaran pencen dibuat kepada enam hakim yang dipecat sewaktu krisis kehakiman pada 1988 atas pemintaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz hari ini.

Katanya, beliau telah menemui surat dari baginda ketika itu yang menulis kepada Ketua Setiausaha Negara masa itu, meminta dibayar pencen kepada mereka walau dipecat

Sehubungan itu, kata Nazri, beliau kesal dengan kesilapannya semasa menjawab satu soalan mengenai pembayaran ex-gratia kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan lima hakim kanan yang lain, di Parlimen baru-baru ini.

Katanya, kenyataan beliau mengenai kemungkinan kesemua hakim tersebut telah dipecat 20 tahun lalu adalah tidak benar.

Sebaliknya Salleh dan lima hakim kanan yang lain sememangnya dipecat, tetapi mereka masih menerima bayaran pencen atas dasar ganti rugi sejak itu, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Pada 6 November lalu, Nazri mengumumkan bahawa kerajaan telah membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada enam orang bekas hakim, termasuk Salleh.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa daripada jumlah tersebut, RM5 juta telah dibayar kepada Salleh.

Bayaran saguhati

Selain Salleh, lima lagi penerima saguhati tersebut ialah lima bekas hakim Mahkamah Agung - Tan Sri Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcadeer, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Seah dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.

Wan Suleiman dan Seah masing-masing dibayar RM2 juta manakala Eusoffe, Azmi dan Hamzah, masing-masing mendapat RM500,000.

Menurutnya, Salleh turut menerima bayaran pencen bulanan sebanyak RM5,102, Seah pula menerima RM5,916, Hamzah (RM6,508), Wan Suleiman (RM4,815), Eusoffe (RM4,815) dan Azmi (RM5,916).

Sementara itu, Nazri menyangkal kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bahawa kerajaan telah memungkiri janjinya untuk tidak mendedahkan jumlah bayaran saguhati kepada bekas hakim terbabit.

Sebaliknya, tegas Nazri pendedahan jumlah saguhati itu dibuat atas permintaan yang dibuat di Dewan Rakyat.

Lagi pula, kata menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kehakiman itu, ia adalah wang rakyat.

Jawab kenyataan Zaid

"Walaupun kita tidak perlu mendedahkannya tetapi apabila Parlimen minta, maka kita kena berbuat demikian," katanya.

Isnin lalu, Zaid membantah keputusan kerajaan untuk mendedahkan jumlah RM10.5 juta saguhati yang dibayar kepada bekas hakim-hakim tersabit.

Menurutnya, beliau - sewaktu menjadi menteri berkenaan - dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah bersetuju untuk tidak mendedahkan jumlah bayaran saguhati itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan sama ada Nazri perlu dirujuk kepada JawatankuasaHak dan Kebebasan kerana didakwa memberi kenyataan tidak benar kepada Dewan Rakyat, akan diketahui minggu depan.


Katanya, beliau perlu menyemak semua butiran kerana perkara itu melibatkan banyakimplikasi.




Pada 10 November lalu, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) meminta Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataan menteri bahawa bekas-bekas hakim tersebut bukannya dipecat tetapi ditamatkan perkhidmatan lebih awal, adalah satu pembohongan besar.

No comments: