Thursday, November 27, 2008

Penurunan harga barang pinggir penduduk kampung

KERAJAAN melancarkan beberapa strategi untuk merangsang ekonomi negara dan mengurangkan beban rakyat termasuk penyaluran pakej rangsangan ekonomi dan penurunan harga minyak buat kali kelima hingga harga petrol kini RM2 seliter.

Tetapi kita belum lagi mendengar pengumuman dibuat sektor perniagaan untuk menurunkan harga barangan dan perkhidmatan. Apabila harga minyak naik sebelum ini, bermacam-macam alasan diberikan, untuk ‘menghalalkan’ mereka menaikkan harga barang, tetapi berdiam diri atau mengambil masa lama apabila harga minyak diturunkan.

Cuma beberapa pasar raya besar seperti Giant, Tesco dan Carrefour baru-baru ini mengumumkan penurunan harga pelbagai jenis barangan makanan dan keperluan harian pada kadar sekurang-kurangnya 30 peratus sejajar dengan penurunan harga minyak di pasaran dunia dan tempatan bertujuan meringankan beban masyarakat yang turut menerima tempias kelembapan ekonomi global.

Bukan Islam jangan pertikai fatwa

PENGUMUMAN Majlis Fatwa Kebangsaan mengenai amalan senaman yoga baru-baru ini amat jelas. Tiada yang mengelirukan jauh sekali perlu disimpulkan sebagai menyinggung perasaan mana-mana pihak.

Keputusannya juga mudah. 'Amalan senaman yoga secara sistematik iaitu membabitkan gerakan fizikal, bacaan mentera dan matlamat penyatuan diri dengan tuhan adalah bertentangan dengan syariat Islam'.

Justeru yang diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan ialah amalan yoga secara sistematik kerana dibimbangi akan menghakis akidah umat Islam jika pengamalnya meneruskan amalan itu ke peringkat lebih tinggi.

Prof. Datuk Dr. Abdul Shukor Husin yang juga Pengerusi Majlis Fatwa Kebangsaan menegaskan, amalan fizikal iaitu senaman dalam yoga tanpa unsur-unsur mentera dan pemujaan pada zahirnya tidak menjadi kesalahan.

Klausa seterusnya berbunyi, bagaimanapun ia tidak digalakkan kerana dikhuatiri boleh menghakis akidah seseorang Muslim memandangkan ia merupakan salah satu komponen daripada keseluruhan amalan yang diharamkan itu.

Lebih penting lagi, pengharaman itu hanya terpakai kepada orang Islam di negara ini, manakala penganut agama-agama lain bebas untuk beryoga sama ada secara sistematik atau senaman biasa.

Tiada tuntutan jauh sekali paksaan kepada orang bukan Islam untuk mematuhi keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan kerana seperti yang diketahui umum keputusan tersebut hanya mengikat umat Islam di negara ini.

Seperti mana jika ada keputusan yang dibuat oleh majlis agama Buddha, Hindu atau Kristian, maka ia hanya terpakai kepada penganut agama tersebut serta mengecualikan umat Islam. Dan umat Islam pun tidak pernah campur tangan jauh sekali mempersoalkan hak mereka untuk mengamalkan kepercayaan mereka. Sebab itu Malaysia yang berbangga dengan status negara Islamnya juga terkenal dengan sambutan Thaipusam antara terbesar di dunia. Itulah toleransi agama di Malaysia yang berasaskan kepada penduduk pelbagai kaum justeru hak setiap kaum sentiasa dipelihara dan dihormati.

Seperkara lagi biarpun keputusan mengharamkan amalan senaman yoga telah diputuskan di peringkat kebangsaan tetapi umat Islam masih boleh 'menepuk dada, tanya selera'. Seperti mana di dalam al-Quran secara terang-terangan mengharamkan arak, tetapi masih ada kalangan umat Islam yang berbangga meneguk minuman tersebut.

Pengharaman arak, babi misalnya tidak sedikit pun bertujuan menyinggung perasaan penganut agama lain, malah kesemuanya itu diterima secara terbuka.

Tetapi tidak dalam kes fatwa mengenai yoga. Keputusan yang mudah lagi nyata telah diputarbelitkan dari pelbagai sudut sehingga menimbulkan persoalan mengapa orang bukan Islam beria-ia menunjukkan bantahan sedangkan pengharaman itu langsung tidak membabitkan mereka.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah berusaha melaksanakan fungsinya untuk menasihatkan umat Islam tentang amalan yoga bagi memelihara akidah mereka.

Selebihnya terpulang kepada individu untuk menerima pakai fatwa tersebut sementelah Majlis Fatwa sendiri tidak ada kuasa untuk meletakkan notis di pusat-pusat yoga bahawa umat Islam dilarang memasuki tempat seperti itu.

Dan jika benar amalan yoga di negara ini tidak mempunyai unsur-unsur sesat lagi menyesatkan, maka tidak sepatutnya timbul kebimbangan di kalangan pengusaha pusat senaman yoga bahawa keputusan itu bakal meranapkan perniagaan mereka.

Namun hampir setiap hari ada sahaja pihak yang mempertikaikan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan, kononnya mengguris hati kumpulan tertentu biar pun tidak diketahui dari sudut mana mereka terguris.

Laporan akhbar terutama media asing menanggapi pengharaman itu secara keseluruhan sedangkan ia telah diperincikan oleh Majlis Fatwa satu persatu. Perkara itu langsung tidak diberi perhatian.

Mengapa tinjauan pendapat kalangan pengamal yoga bukan Islam diperbesar-besarkan sedangkan mereka tidak disekat jauh sekali dilarang daripada meneruskan amalan tersebut.

Begitu juga kepada orang Islam yang 'percaya' serta 'yakin' bahawa amalan yoga (tanpa mantera, aktiviti fizikal dan matlamat penyatuan diri dengan tuhan), tidak akan memesongkan akidah mereka maka ia boleh saja diteruskan sambil mengingati nasihat supaya mereka berhati-hati.

Selepas menunjukkan bantahan secara terbuka terhadap keputusan Majlis Fatwa, timbul pula isu kononnya keputusan tersebut ditolak di peringkat negeri.

Laporan tersebut dibesar-besarkan, kononnya ada negeri yang menangguhkan pengharaman yoga dengan menggunakan perkataan tidak bersetuju dan sebagainya.

Sedarkah orang yang menulis itu bahawa keputusan mengenai fatwa yoga yang dilakukan pada muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ke-83 di Kota Bharu Kelantan pada 22 hingga 24 oktober lalu disertai oleh wakil mufti dari setiap negeri.

Cumanya, oleh kerana hal ehwal Islam adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri maka keputusan fatwa mesti dibincangkan pula di peringkat jawatankuasa negeri dan kemudian dirujuk kepada Raja masing-masing.

Oleh itu seperti yang ditegaskan oleh Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Islam Malaysia (Jakim), tidak ada perbezaan pendapat pada peringkat negeri berhubung keputusan pengharaman senaman yoga.

Cuma pihak-pihak tertentu bekerja keras menonjolkan kononnya ada perbezaan pendapat berhubung pengharaman tersebut tanpa diketahui apakah matlamat mereka yang sebenar.

Datuk Wan Mohamad Datuk Sheikh Abdul Aziz turut menjelaskan bahawa rungutan pelbagai pihak mengenai fatwa bukan bermakna ada perbezaan pendapat tetapi lebih kepada prosedur pelaksanaannya di bawah enakmen setiap negeri.

Ini kerana sama ada pandangan muzakarah akan dijadikan fatwa yang diwartakan, itu terpulang kepada kerajaan-kerajaan negeri.

Adalah wajar bagi umat Islam dan bukan Islam melihat apa sebenarnya tujuan fatwa dan apa perbezaan keputusan fatwa yang diputuskan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan dengan fatwa yang dikeluarkan di peringkat negeri.

Portal e-fatwa yang menjadi rujukan rasmi fatwa di Malaysia menawarkan penjelasan panjang lebar iaitu 'keputusan fatwa' adalah keputusan mengenai sesuatu hukum yang dikeluarkan selepas sesuatu persidangan atau muzakarah sama ada di peringkat negeri atau kebangsaan.

Manakala 'fatwa' adalah keputusan fatwa yang telah diwartakan oleh kerajaan negeri.

Keputusan fatwa dari segi bahasanya ialah memberi jawapan/penjelasan bagi sesuatu masalah agama. Manakala dari segi istilahnya pula penjelasan mengenai hukum syarak oleh Mufti bagi sesuatu masalah agama berdasarkan dalil syarak sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara sendirian atau berkumpulan.

Manakala fatwa ialah keputusan fatwa yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Mufti dan telah diwartakan oleh kerajaan negeri bagi proses penguatkuasaan undang-undang.

Proses mengeluarkan jawapan dilakukan secara berjemaah sama ada di peringkat negeri ataupun di peringkat kebangsaan.

Islam mensyariatkan umatnya bertanya kepada orang yang berilmu sekiranya mereka mendapati sesuatu masalah itu tidak jelas hukumnya.

Hakikatnya fatwa adalah satu unsur penting dalam kehidupan masyarakat Islam. Kemajuan sains dan teknologi yang dinamik di Malaysia telah menimbulkan beberapa persoalan baru yang memerlukan huraian menerusi fatwa.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam akan mengundang pihak tertentu mengikut bidangnya untuk berbincang dalam usaha menyelesaikan sesuatu permasalahan.

Para cendekiawan yang berpengalaman juga merupakan ahli di dalam jawatankuasa itu bagi tujuan memperluaskan perbincangan dan sebagai usaha menjadikan mereka pelapis di masa hadapan.

Prosedur bagaimana fatwa dikeluarkan.

Perlu dikaji dan dibentangkan di dalam jawatankuasa.

Lazimnya mengikut pendapat muktamad dalam mazhab Syafie.

Jawatankuasa Fatwa berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Mengikut kaedah fiqh Al-Aulawiyyat iaitu meletakkan sesuatu pada kedudukan yang sewajarnya sama ada dari segi hukum, nilai mahupun pelaksanaannya. Perkara atau amalan yang lebih utama hendaklah didahulukan berdasarkan penilaian syariat dan akal.

Jawatankuasa fatwa akan merujuk kepada pendapat-pendapat sahabat, tabiin, imam-imam mazhab dan fukaha dengan mengadakan penelitian dalil-dalil dan implikasinya.

Monday, November 17, 2008

Bajet 2009 Pulau Pinang 'Bajet CAT Penyayang'

Fri | Nov 14, 08
GEORGETOWN, 14 Nov (Hrkh) - Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng memperkenalkan 'Bajet CAT Penyayang' bagi Negeri Pulau Pinang yang menyaksikan kekurangan defisit RM13.9 juta berbandng RM35.7 juta tahun 2008. Iklan



Walaupun pada dasarnya angka mencatatkan defisit RM39.4 juta namun setelah ditolak program sosial bantuan kepada golongan berpendapatan rendah untuk penggunaan air dan bantuan Sekolah Bantuan Kerajaan ianya hanya RM13.9 juta.

"Urus tadbir kerajaan berdasarkan sistem Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT) menunjukan kejayaan. Kerajaan yang mementingkan demokrasi, ketuanan rakyat dan kepimpinan beretika dapat bersatu di bawah 5K iaitu kebebasan, keadilan, kebenaran, keluhuran undang-undang dalam perlembagaan perkesekutuan dan ketaqwaan pada Tuhan," jelasnya ketika membentangkan Rang Undang-Undang Perbekalan dan Usul Anggaran Pembangunan 2009 di Dewan Undangan Negeri (Dun) sebentar tadi.

Menurutnya, mengamalkan lima langkah tersebut baru sebuah kerajaan itu boleh mempelajari dari kepimpinan agung Islam Khalifah Sayidina Umar Abdul Aziz, Maharaja Empayar Rom, Marcus Aurelius atau Maharaja Cina, Kang Xi dan LiXiMin.

Bayaran penggunaan air kepada golongan miskin sebanyak RM17 juta dan RM8.5 juta kepada Sekolah Bantuan Kerajaan sebenarnya memberi kesan positif apabila rakyat mula celik dan pandang bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat merupakan kerajaan prihatin berbanding Kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tujuan kerajaan melaksanakan program untuk kebaikan rakyat itu semata-mata bagi meringgankan kedudukan rakyat yang berpendapatan rendah serta memberi keadilan sosial dan ekonomi kepada rakyat dalam menangani kesan kenaikan harga barangan.

"Semua program yang diatur oleh kerajaan kini menyasarkan keperluan untuk rakyat tanpa mengira apa latar belakang politik," tambahnya.

Memandangkan pembentangan Bajet 2009 adalah pertama kali oleh Kerajaan Pakatan Rakyat maka ia mementingkan kemantapan pengurusan kewangan di jabatan-jabatan negeri khususnya dari segi kawalan perbelanjaan secara berhemah bagi mengecapi nilai yang terbaik, katanya.

Untuk meraih peningkatan tegas Lim, Bajet CAT Penyayang melaksanakan serampang tiga mata iaitu pro-pertumbuhan, pro-pekerjaan dan pro-golongan miskin dan mancapai pertumbuhan yang tinggi melalu ekspot dan pelaburan.

"Bagi mencapai matlamat Bajet CAT itu ia dimulakan dengan perjalanan dengan membolehkan Pulau Pinang menjadi negeri dinamik yang boleh memimpin semua sebagai negeri wifi pertama, negeri tender terbuka pertama yang kini dicontohi Kerajaan Persekutuan dan negeri pertama membasmi kemiskinan tegar," ujar beliau.

Selain itu, menerusi Bajet CAT juga dapat melengkapkan transformasi negeri menjadi sebuah bandar raya bertaraf antarabangsa dan sebuah kerajaan berjiwa rakyat yang dapat menjimatkan wang perbelanjaan untuk rakyat miskin dan pembangunan sekolah bantuan kerajaan, katanya.

Sebenarnya tambah beliau, rakyat menaruh harapan yang tinggi kepada Kerajaan Pakatan Rakyat kerana dalam situasi yang sukar dapat membangunkan negeri serta urus tadbir kewangan sehingga tiada penyelewengan.

Justeru katanya, Kerajaan Pakatan Rakyat akan mencari beberapa cara untuk merancakkan pertumbuhan ekonomi, memperkemaskan Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Hab Halal Antarabangsa, mempertingkatkan sektor pertanian, pelancongan dan seumpamanya.

"Harapan rakyat amat tinggi untuk melihat Kerajaan Pakatan Rakyat menonjol di masa depan kerana kejayaan mengawal ekonomi dan urus tadbir dengan baik akan merancakkan sokongan bagi membentuk kerajaan baru yang diimpikan," jelasnya.

Friday, November 14, 2008

Nazri: 6 hakim memang dipecat

Nov 13, 08 3:36pm
Pembayaran pencen dibuat kepada enam hakim yang dipecat sewaktu krisis kehakiman pada 1988 atas pemintaan Yang di-Pertuan Agong ketika itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Nazri Abdul Aziz hari ini.

Katanya, beliau telah menemui surat dari baginda ketika itu yang menulis kepada Ketua Setiausaha Negara masa itu, meminta dibayar pencen kepada mereka walau dipecat

Sehubungan itu, kata Nazri, beliau kesal dengan kesilapannya semasa menjawab satu soalan mengenai pembayaran ex-gratia kepada bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abbas dan lima hakim kanan yang lain, di Parlimen baru-baru ini.

Katanya, kenyataan beliau mengenai kemungkinan kesemua hakim tersebut telah dipecat 20 tahun lalu adalah tidak benar.

Sebaliknya Salleh dan lima hakim kanan yang lain sememangnya dipecat, tetapi mereka masih menerima bayaran pencen atas dasar ganti rugi sejak itu, katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Pada 6 November lalu, Nazri mengumumkan bahawa kerajaan telah membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada enam orang bekas hakim, termasuk Salleh.

Beliau memberitahu Dewan Rakyat bahawa daripada jumlah tersebut, RM5 juta telah dibayar kepada Salleh.

Bayaran saguhati

Selain Salleh, lima lagi penerima saguhati tersebut ialah lima bekas hakim Mahkamah Agung - Tan Sri Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcadeer, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Seah dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh.

Wan Suleiman dan Seah masing-masing dibayar RM2 juta manakala Eusoffe, Azmi dan Hamzah, masing-masing mendapat RM500,000.

Menurutnya, Salleh turut menerima bayaran pencen bulanan sebanyak RM5,102, Seah pula menerima RM5,916, Hamzah (RM6,508), Wan Suleiman (RM4,815), Eusoffe (RM4,815) dan Azmi (RM5,916).

Sementara itu, Nazri menyangkal kenyataan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim bahawa kerajaan telah memungkiri janjinya untuk tidak mendedahkan jumlah bayaran saguhati kepada bekas hakim terbabit.

Sebaliknya, tegas Nazri pendedahan jumlah saguhati itu dibuat atas permintaan yang dibuat di Dewan Rakyat.

Lagi pula, kata menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal kehakiman itu, ia adalah wang rakyat.

Jawab kenyataan Zaid

"Walaupun kita tidak perlu mendedahkannya tetapi apabila Parlimen minta, maka kita kena berbuat demikian," katanya.

Isnin lalu, Zaid membantah keputusan kerajaan untuk mendedahkan jumlah RM10.5 juta saguhati yang dibayar kepada bekas hakim-hakim tersabit.

Menurutnya, beliau - sewaktu menjadi menteri berkenaan - dan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, telah bersetuju untuk tidak mendedahkan jumlah bayaran saguhati itu.

Sementara itu, Bernama melaporkan, Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, keputusan sama ada Nazri perlu dirujuk kepada JawatankuasaHak dan Kebebasan kerana didakwa memberi kenyataan tidak benar kepada Dewan Rakyat, akan diketahui minggu depan.


Katanya, beliau perlu menyemak semua butiran kerana perkara itu melibatkan banyakimplikasi.




Pada 10 November lalu, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) meminta Nazri dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan kerana mendakwa kenyataan menteri bahawa bekas-bekas hakim tersebut bukannya dipecat tetapi ditamatkan perkhidmatan lebih awal, adalah satu pembohongan besar.

Thursday, November 13, 2008

Isu Rokok: Jabatan Kesihatan Negeri Syok Sendiri??


Harga minyak,barang semua dok naik.Sekarang turun plak tapi Chek dok heran gak kenapala harga rokok dok naik ja tak pernah nak turun-turun..Yang nak jadi cerita,baru ni ramai pencinta tembakau 'hangat' sebab budak-budak Kesihatan suka ati depa nak saman orang.Baru ja,keluaq brita pasai kawasan larangan merokok..tu baru buat statement..tup..tup..signboard xdak,apapun tak dak,terus nak saman orang.kecian gak kat pencinta tembakau tu.Siap masuk paper lak tu(siap nangis kena saman).Yang tukang saman senyum sampai telinga la.Ish..ish..Macam la depa tak hisap rokok.Kalau Chek ada kuasa nak saman,dah ramai tukang saman tu kena tau..At least, buatla tempat khusus tuk pencinta-pencinta tembakau tu.Tengok cam PICC Putrajaya, Ada gak tempat merokok.Sapa tak mau hisap dalam tu barula saman.Macam dalam feri gakla,ada gak tempat merokok..erm..apa nak jadi???..semua gila kuasa..

16 Sept: Perwakilan dijangka tuntut penjelasan

Kongres Nasional Tahunan PKR yang akan berlangsung hujung bulan ini dijangka menjadi medan bagi para perwakilan untuk mendapatkan penjelasan mengenai projek peralihan kuasa 16 September yang diusahakan penasihatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Ia akan menjadi landasan bagi memulihkan keyakinan rakyat yang agak kecewa dengan projek 16 September," kata ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) parti itu Khalid Jaafar.

Menurutnya, penjelasan tersebut penting bagi menangani persepsi rakyat apabila rancangan untuk mengambil alih kuasa pada tarikh tersebut, tidak menjadi kenyataan.

Projek mengambil alih kuasa itu, menurut Khalid, telah menjadi wacana dalam masyarakat dan terdapat tuntutan supaya perkara itu disegerakan.

"Selama ini mereka prnah bincang tentang proses (peralihan kuasa). Sekarang ini, bukan saja berbincang tentang proses (mengambil alih kuasa), tetapi kalau boleh hendak cepat," kata Khalid yang juga bekas setiausaha akhbar Anwar.

Kira-kira 2000 perwakilan PKR daripada lebih 160 bahagian akan bersidang pada 29 dan 30 November ini di Stadium Melawati Shah Alam.

Kongres kali ini menjadi tumpuan kerana ia adalah yang pertama diadakan selepas pilihanraya umum Mac lalu.

Gerak tenaga parti

PKR adalah parti dominan dalam gabungan Pakatan Rakyat yang memerintah di lima negeri yang dimenanginya dalam pilihanraya umum lalu.

Dihubungi Malaysiakini semalam, Khalid berkata, peralihan kuasa dalam Umno juga dijangka turut disentuh dalam ucapan Anwar.

"Saya difahamkan Anwar akan buat beberapa pembaharuan dalam aspek tema dan cara organisasi parti.

"Kongres ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi mesti menggerakkan tenaga parti kerana kita akan menghadapi suasana getir Mac 2009 di mana berlaku peralihan kuasa dalam Umno.

"Saya percaya, bukan sahaja PKR, ia turut memberi kesan terhadap parti-parti lain dalam Pakatan," katanya yang juga ketua bahagian Bukit Katil, Melaka.

Sementara itu, Timbalan Setiausaha Agung PKR, Abdul Halim Mohamed Yusof berkata kongres bertemakan "Harapan Baru" itu akan memfokuskan isu pemantapan parti dari aspek keahlian.

Katanya, perkara itu menjadi keperluan bagi menghadapai kemungkinan pembubaran Parlimen apabila peralihan kuasa kelak.

Beberapa pindaaan teknikal terhadap cawangan juga akan dibuat, tambahn Abdul Halim.

ZAID IBRAHIM DAN BAYARAN EX-GRATIA

Dr. Mahathir Mohamad at November 11, 2008 7:01 PM
1. Saya bersetuju dengan Datuk Zaid Ibrahim, bekas (mantan) Menteri Undang-undang de fakto bahawa bayaran ex-gratia RM5 juta adalah bersesuaian jika dibanding dengan pendapatan peguam terkemuka di negara ini yang mencecah RM2 juta setahun.

2. Bahawa peguam terkemuka di Malaysia mendapat RM2 juta setahun amat memberangsangkan saya. Jelas sekali saya telah pilih karier yang salah kerana Perdana Menteri mendapat hanya RM240,000 setahun. Ini tentulah kerana tanggungjawab Perdana Menteri tidak seberat peguam, wallahua'lam.

3. Dakwaan Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri Undang-undang tentang pendapatan peguam terkemuka tentulah diasaskan kepada pengetahuan dan pengalaman beliau sebagai pemilik firma guaman yang mempunyai 100 peguam. Saya tidak pernah baca berkenaan Datuk Zaid Ibrahim, bekas Menteri Undang-undang mempertahankan mana-mana penjenayah atau anak guam dalam mahkamah. Jadi saya tertanya-tanya daripada manakah datangnya pendapatan yang lumayan bagi firma guamannya dan sudah tentu dirinya sendiri.


4. Apakah mungkin pendapatan yang tinggi dan banyak ini datang daripada urusan-urusan berkaitan dengan kes-kes penswastaan Kerajaan dan lain-lain keperluan "conveyancing" Kerajaan? Ini sangkaan saya sahaja. Jika tidak benar tunjuk bukti yang ianya tidak benar.

5. Jika benar patutkah bekas Menteri ini tutup mata pencarian yang lumayan ini kepada peguam Bumiputera yang lain kerana ingin dikenali sebagai seorang yang liberal yang tolak Dasar Ekonomi Baru dengan peluang-peluang untuk Bumiputera?

6. Apa perlunya dasar-dasar DEB selepas kita sudah sampai ke atas? Buang sahajalah supaya orang lain tidak mendapat manfaat daripadanya.

7. Parti Keadilan sedang menggamit. Tempat tertentu boleh dikosongkan supaya calon baru dapat mengisinya. Duit tak penting. Apabila pendapatan sudah sebanyak RM2 juta setahun siapa perlu jawatan Menteri yang tidak menjanjikan pendapatan yang setanding?

8. Sesungguhnya politik adalah cahaya yang terang yang dapat mendedahkan banyak yang tersembunyi dan tidak ternampak atau diketahui dahulu.

9. Dalam cahaya politik yang terang-benderang kita dapat lihat dan kenal ramai orang yang kita tidak kenal dahulu.

Pembangkang tandus idea bangkit isu Negaraku

KUALA LUMPUR 12 Nov. – Tindakan wakil rakyat pembangkang membangkitkan isu polis menyuraikan perhimpunan haram ketika pesertanya sedang menyanyikan lagu Negaraku, membuktikan mereka telah ketandusan idea bagi meraih sokongan.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Chor Chee Heung berkata, pembangkang tiada lagi isu yang boleh dimainkan setelah dakwaan mereka sebelum ini bahawa sebahagian besar wakil rakyat Barisan Nasional (BN) akan melompat parti tidak menjadi kenyataan.

‘‘Saya percaya pihak pembangkang sengaja hendak buat isu. Mereka terus cari bermacam-macam perkara bagi menarik perhatian rakyat,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) hari ini bahawa polis telah menyuraikan perhimpunan Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) di Pusat Sivik Petaling Jaya pada Ahad lalu, ketika peserta sedang menyanyikan lagu Negaraku.

Polis turut menahan dua wakil rakyat dari DAP iaitu Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua dan Ahli Dewan Undangan Negeri Kampung Tunku, Lau Weng San.

Menurut Chee Heung, jika benar dakwaan bahawa polis melakukan perbuatan berkenaan ia bukan bererti anggota pasukan itu tidak menghormati lagu kebangsaan.

Jawatan PM atas sokongan majoriti

PUTRAJAYA 12 Nov. – Tun Dr. Mahathir Mohamad membidas pihak tertentu yang cuba membangkitkan persoalan tentang keperluan mempunyai seorang Perdana Menteri dari kalangan bukan Melayu atas alasan agar negara tidak dilihat mengamalkan perkauman.

Bagi beliau, tindakan membangkitkan persoalan tentang Perdana Menteri bukan Melayu itu sendiri sebenarnya adalah bersifat perkauman.

‘‘Tidak sepatutnya soalan itu ditanya, sama ada Melayu atau bukan Melayu. Tidak kira Melayu atau bukan Melayu, jika seseorang itu diterima oleh rakyat Malaysia, dia layak untuk menjadi Perdana Menteri.

‘‘Sudah tentu berbeza dengan Singapura, tidak ada pemimpin bukan Cina yang boleh menjadi Perdana Menteri,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada siri syarahan Perdana ‘Bangsa Malaysia’ di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini hari ini.

Menurut bekas Perdana Menteri, undang-undang negara menetapkan sesiapa sahaja boleh menjadi Perdana Menteri dan tiada sebarang spesifikasi bahawa pemimpin negara mesti diketuai oleh orang Melayu.

‘‘Tetapi spesifikasinya ialah orang yang layak menjadi Perdana Menteri adalah pemimpin kepada sebuah parti yang majoriti, jadi janganlah tanya sama ada dia Melayu, Cina atau India.

‘‘Sepatutnya tanyalah kepada pakatan pembangkang, kenapa pilih (Datuk Seri) Anwar Ibrahim jadi pemimpin, mengapa tidak orang Cina,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, pemerintahan yang dikuasai oleh parti berasaskan kaum masih lagi relevan bagi memastikan kestabilan negara terus terjamin apatah lagi ia ternyata berjaya mengurangkan perdebatan perkauman sejak 50 tahun lalu.

‘‘Di Malaysia, kita yang terdiri daripada pelbagai kaum boleh bekerjasama secara politik dan sebarang usaha untuk menghapuskan amalan itu perlu dilakukan secara perlahan-lahan dan bukannya mengejut,” katanya.

Beliau berkata, parti berasaskan kaum masih diperlukan kerana rakyat Malaysia belum bersatu sepenuhnya sehinggakan rancangan kerajaan untuk mewujudkan Sekolah Wawasan telah ditolak.

‘‘Hendak buka sekolah yang membolehkan anak-anak kita (pelbagai kaum) belajar bersama-sama pun ditolak, jadi macam mana kita hendak ketepikan kaum, anda tolak Sekolah Wawasan bermakna anda mahu kekalkan perasaan kaum, katanya.

Krisis kehakiman 1988: 'Review' semula keputusan tribunal

Wed Nov 12, 08 6:58:23 am

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Hrkh) - Isu pembayaran ex-gratia kepada hakim-hakim yang terbabit dalam isu krisis kehakiman 1988 tidak selesai dengan hanya menghadiahkan bayaran RM 10.5 juta, sebaliknya kerajaan Umno-BN perlu membersihkan nama hakim-hakim ini.
"Saya tidak mempersoalkan bayaran yang diberikan kepada hakim-hakim terbabit, tetapi persoalannya bayaran itu sebenarnya menandakan kerajaan Umno/BN bersalah dalam krisis 1988 yang menyebabkan pemecatan hakim," kata seorang peguam, Abdullah Abdul Karim.
Menurut Abdullah, meskipun pembayaran telah diumumkan dan secara signifikannya, pembayaran itu menandakan kerajaan lah sebenarnya yang bersalah memutuskan pemecatan Tun Salleh Abbas dan beberapa hakim yang lain.
Tetapi sehingga kini, walaupun keputusan pembayaran telah dibuat, kerajaan tidak pernah memohon maaf secara terbuka kepada rakyat dan hakim-hakim terbabit atas kesalahan mereka, katanya.
Sejak dahulu lagi, kerajaan Umno/BN di bawah Tun Dr Mahathir Mohamad hingga kepada Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi mempertahankan keputusan tribunal yang memecat Tun Salleh Abbas dan rakan-rakannya, kata Abdullah.
Menyingkap hakikat dalam sebuah penulisan buku Tun Salleh Abbas menceritakan bahawa tribunal diwujudkan khasnya oleh kerajaan ketika itu hanya untuk memastikan keputusan pengharaman Umno oleh Mahkamah Tinggi ketika itu kekal.
Dan tambahnya, Tun Salleh juga mendedahkan dalam bukunya bahawa krisis jawatan dalaman Umno yang berlaku antara Tun Dr Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah, isu kumpulan 11 dalam Umno sebenarnya yang menjadi punca kepada krisis kehakiman 1988.
Malangnya, ketika Tun Salleh mencadangkan permohonan rayuan ke atas pembatalan Mesyuarat Agung Umno 1987 didengar oleh korum 9 orang hakim, kerajaan tribunal diwujudkan khas untuk kononnya membicarakan kesalahan Tun Salleh, katanya.
Tujuan Tun Salleh mencadangkan agar 9 hakim mendengar rayuan kes pengharaman Umno dan membatalkan keputusan Mesyuarat Agung Umno 1987 adalah supaya keputusan tidak bias kepada mana-mana pihak, katanya.
Sebaliknya, kata beliau ketika itu Tun Mahathir yang telah menghidu sebarang masalah yang bakal dihadapinya jika 9 hakim memutuskan membatalkan Mesyuarat Agung Umno 1987 bertindak mengwujudkan tribunal.
Sekaligus ujarnya, pengwujudan tribunal itu ada kaitan ke atas usaha Umno ketika itu untuk memastikan usaha Tun Salleh gagal, dan mengheret Tun Salleh kepada pemecatan dengan pelbagai dakwaan.
Selepas Tun Salleh dan hakim-hakim terbabit dipecat, Umno meneruskan dakyah bahawa keputusan tribunal memecat mereka terbabit adalah benar dan ia dipertahan hingga kini, katanya.
"Persoalan bayaran adalah hal lain, tetapi membersihkan nama hakim-hakim terbabit adalah penting kerana disanalah mulanya krisis kehakiman, campur tangan eksekutif ke atas badan kehakiman yang menyebabkan badan itu tidak bebas," katanya lagi.
Begitupun kata Abdullah petsoalan siapa yang perlu dipertanggungjawabkan di atas krisis tersebut boleh selesai hanya dnegan review semula keputusan tribunal itu.
Sama ada dengan mengwujudkan semula tribunal khas atau sebagainya, usaha ini perlu dilakukan oleh kerajaan demi membersihkan nama hakim-hakim terbabit, katanya.
Selain itu beliau mencadangkan agar kerajaan mengwujudkan Suruhanjaya Kehakiman khasnya bagi urusan pelantikan hakim-hakim. Hal ini katanya, boleh mengelak dari campur tangan eksekutif yang didakwa berlaku hari ini di atas pelantikan hakim-hakim.
Zaid kesal, bayaran diumum
Dalam perkembangan berkaitan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Zaid Ibrahim menyatakan rasa kesalnya terhadap tindakan kerajaan mengumumkan jumlah bayaran ex-gratia ke atas hakim-hakim terbabit.
Beliau kesal dan dukacita kerana tidak dapat mengotakan janji kepada bekas hakim-hakim yang dipecat sewaktu krisis kehakiman pada 1988 untuk tidak mendedahkan jumlah saguhati yang dibayar oleh kerajaan kepada mereka awal tahun ini.
Katanya, beliau selaku menteri yang bertanggunggung jawab dalam hal ehwal kehakiman dan Perdana Menteri telah bersetuju untuk tidak mendedahkan jumlah yang dibayar kepada hakim-hakim berkenaan atas permintaan hakim-hakim berkenaan yang dianggapnya sebagai wajar.
"Hakim-hakim berkenaan tidak pernah meminta wang ini dan tidak mahu wujud polemik pada kemudian hari dan tidak mahu mengalihkan hasrat murni ini jika perkara in ididedahkan.
"Kami kesal dan dukacita kerana kami tidak dapat mengotakan janji kami kepada hakim-hakim ini. "Adakah ini bermakna bahawa kata-kata yang lahir dari bibir menteri kerajaan tidak lagi boleh dipandang serius?" katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Minggu lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Nazri Aziz mengumumkan bahawa kerajaan telah membayar saguhati sejumlah RM10.5 juta kepada enam hakim berkenaan.
Nazri memberitahu Dewan Rakyat bahawa daripada jumlah tersebut, RM5 juta telah dibayar kepada Salleh. Selain Salleh, lima lagi penerima saguhati tersebut ialah lima bekas hakim Mahkamah Agung - Tan Sri Azmi Kamaruddin, Allahyarham Tan Sri Eusoffe Abdoolcadeer, Allahyarham Tan Sri Wan Suleiman Pawanteh, Tan Sri George Seah dan Tan Sri Hamzah Mohamed Salleh. Wan Suleiman dan Seah masing-masing dibayar RM2 juta manakala Eusoffe, Azmi dan Hamzah, masing-masing mendapat RM500,000.
Menurut Nazri, Salleh menerima bayaran pencen bulanan sebanyak RM5,102, Seah pula menerima RM5,916, Hamzah (RM6,508), Wan Suleiman (RM4,815), Eusoffe (RM4,815) dan Azmi (RM5,916).

Ucapan Penggulungan Perbahasan Bajet 2009


UCAPAN PENGGULUNGAN PERBAHASAN BAJET 2009 OLEH DATUK SERI NAJIB RAZAK, TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP MENTERI KEWANGAN Tuan Yang Dipertua, TERLEBIH dahulu, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ahli-ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam sesi perbahasan Bajet 2009, khususnya yang membabitkan perkara-perkara di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan. Banyak perkara yang telah ditimbulkan semasa perbahasan tersebut dan Kementerian Kewangan akan memberi perhatian sepenuhnya terhadap semua teguran dan berusaha melaksanakan saranan dan cadangan yang sesuai yang telah dikemukakan. Ini bertujuan untuk memastikan pelaksanaan Bajet 2009 dapat mencapai matlamat yang dinyatakan dalam Ucapan Bajet oleh YAB Perdana Menteri pada 29 Ogos lalu.
Penggulungan pada kali ini mencatat sejarah kerana jawatan Menteri Kewangan Malaysia beralih selepas pembentangan Bajet 2009 dan sebelum penggulungannya. Di sini izinkan saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri di atas keyakinan beliau melantik saya mengambil alih porfolio Menteri Kewangan. YAB juga telah berjaya menguruskan sebuah ekonomi yang mempunyai asas yang kukuh dan berdaya tahan. Keduanya, kerana tercetus ledakan krisis kewangan global selepas pembentangan Bajet 2009 di Amerika Syarikat dan Eropah yang bahangnya sedang dirasai oleh dunia termasuk Malaysia. Justeru itu, Tuan Yang Dipertua, saya tidak akan mengambil sikap untuk semata-mata menjawab semua teguran dan cadangan seperti amalan biasa waktu perbahasan penggulungan. Sebaliknya di samping melakukan perkara itu, saya bercadang untuk membentang langkah-langkah tambahan sebagai "policy response" terhadap krisis kewangan dunia agar ekonomi Malaysia terjamin pertumbuhan dan rakyat Malaysia tidak terlalu tertekan. Kerajaan beriltizam untuk melakukan segala yang termampu untuk terus membela rakyat dan menyelamatkan ekonomi negara. Saya ingin memaklumkan bahawa saya berhasrat untuk memberi laluan penjelasan hanya selepas saya membentangkan langkah-langkah tambahan bagi Bajet 2009.
Pendahuluan Semasa awal perbahasan Bajet 2009 ini, beberapa Ahli Yang Berhormat daripada pihak pembangkang telah menyarankan agar Bajet 2009 dikaji dikaji semula sepenuhnya dan dibentangkan semula kepada Parlimen, berikutan perubahan iklim ekonomi dunia sejak akhir-akhir ini. Kerajaan tidak akan membentangkan semula Bbajet baru 2009. Desakan Cadangan untuk merubah keseluruhan dan membentang semula Bajet 2009 hanya akan membantutkan melengahkan usaha Kerajaan untuk memastikan momentum pertumbuhan ekonomi negara dapat dicapai. Oleh yang demikian, Kerajaan akan terus menumpukan perhatian kepada usaha apa yang penting, iaitu mengurus hal ehwal negara dan memperbaiki kehidupan rakyat menjamin kebajikan rakyat agar ekonomi negara tidak akan melanda kemelesetan. Oleh yang demikian, yang penting adalah penting untuk meneruskan rancangan perbelanjaan Kerajaan bagi tahun 2009 demi bagi memastikan pertumbuhan ekonomi yang mapan untuk perlu diteruskan demi kesejahteraan rakyat. Saya ingin menegaskan kepada Dewan yang mulia ini bahawa Kerajaan sentiasa sedar dan memantau rapi perkembangan ekonomi di peringkat global dan domestik. Ketidaktentuan dan impak krisis kewangan global ini telah membawa implikasi negatif kepada pasaran kewangan negara kita. Alhamdulillah, dasar, kawal selia serta langkah berhemah Kerajaan yang telah dipraktikkan sebelum ini telah menjadikan asas-asas kewangan negara kekal kukuh.
Tidak seperti krisis kewangan Asia 1997/98 dulu, pasaran kewangan dan hartanah Malaysia tidak dibelenggu petanda-petanda (symptoms) "simptom-simptom speculative bubble" di dalam pasaran kewangan dan hartanah domestik. Selain itu, Malaysia tidak terdedah kepada penularan produk kewangan inovatif yang kompleks dan tidak dikawal, yang juga antara punca utama krisis subprima dan kewangan di peringkat antarabangsa. Sementara itu, sebahagian aset pasaran modal di Malaysia adalah berteraskan prinsip syariah yang mengamalkan tahap hutang dan pengurusan kewangan yang berhemah. Tambahan lagi, jumlah tabungan negara berada pada paras yang tinggi iaitu sebanyak 37 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Ini mencerminkan negara mempunyai lebihan mudah tunai yang boleh digunakan untuk menjana aktiviti ekonomi. Sektor perbankan kekal kukuh dengan hutang tak berbayar (NPL) yang rendah iaitu 2.5 peratus dan nisbah modal berwajaran risiko (RWCR) sebanyak 13.2 peratus, jauh melebihi paras lapan peratus dalam piawaian antarabangsa. Semua pencapaian ini tidak berlaku secara kebetulan. Selain daripada kepimpinan politik yang berhemah dan bijaksana, kerajaan juga mengiktiraf peranan badan kawal selia seperti Bank Negara dan Suruhanjaya Sekuriti yang telah melaksanakan tugas mereka secara profesional bagi mengawal-selia sistem kewangan agar sentiasa berada di landasan yang betul. Pendekatan kerajaan yang menguruskan ekonomi yang dulunya di anggap unorthodox (melawan arus), tetapi kini telah diiktiraf sebagai satu keperluan bagi mengatasi kemelut ekonomi terkini yang melanda ekonomi negara besar dunia. Namun demikian, kerajaan bukannya "in self denial" ataupun menidakkan yang nyata dan benar sebagaimana tuduhan pembangkang. Walaupun Malaysia tidak mengalami krisis kewangan secara langsung dan mempunyai asas-asas kewangan yang kukuh, kita sedar bahawa Malaysia tidak terkecuali atau terlindung daripada menghadapi risiko perkembangan global yang amat mencabar ini. Bajet 2009 telah dirangka dengan mengambil kira pelbagai faktor dan ia tidak perlu dikaji semula sepenuhnya. Bajet 2009 sememangnya sudah pun mengunjurkan pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan bagi tahun 2009. Sebagai Kerajaan yang prihatin, penekanan telah diberi kepada pembangunan sosioekonomi masyarakat, terutamanya yang miskin dan berpendapatan rendah selain daripada memberi tumpuan kepada pertumbuhan ekonomi yang mapan. Dalam perkara ini, penekanan telah diberi kepada perluasan Jaringan Keselamatan Sosial untuk menyokong golongan miskin dan berpendapatan rendah, di desa dan di kota, di pekan kecil dan kampung terpencil. Ini selari dengan hasrat kita untuk menghapuskan kemiskinan tegar menjelang 2010, seperti yang disasarkan oleh YAB Perdana Menteri. Sebagai pengganti beliau di Kementerian Kewangan, saya akan pastikan hasrat murni ini akan tercapai. Ini juga secara langsung dapat meningkatkan kuasa beli rakyat dan merangsang pertumbuhan permintaan dalam negeri. Penekanan juga diberi kepada pelaksanaan program dan projek Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) , terutama yang mesra rakyat dan berimpak tinggi untuk menjana pertumbuhan ekonomi negara yang berdaya tahan mapan. Dengan itu, Kerajaan komited untuk mengambil langkah-langkah yang sesuai bagi mengukuhkan tahap keyakinan di dalam negeri dan terus menjamin kesejahteraan rakyat. Walaupun hasil Kerajaan akan berkurangan ketika di kala penurunan harga komoditi yang mendadak serta permintaan global yang lembab, kerajaan akan terus melaksanakan langkah perbelanjaan yang telah dirancangkan. Ini, termasuk memperluaskan program Jaringan Keselamatan Sosial, memperkasakan pendidikan, membangunkan infrastruktur sokongan dan membangunkan kawasan luar bandar, termasuk di Sabah dan Sarawak. Kerajaan yakin ekonomi negara pada tahun ini mempunyai daya tahan untuk menghadapi persekitaran global yang serius mencabar kerana momentum pertumbuhan ekonomi negara terus berkembang kukuh. Pertumbuhan ekonomi domestik disokong, terutamanya oleh peningkatan perbelanjaan permintaan dalam negeri. Berdasarkan senario ini, saya yakin dan percaya negara akan mencapai sekurang-kurangnya 5 peratus pertumbuhan KDNK bagi tahun 2008. Seperti yang kita sedia maklum, penunjuk ekonomi global sejak akhir-akhir ini semakin membimbangkan runcing yang dijangka memberi kesan negatif lebih ketara kepada pertumbuhan ekonomi global dan perdagangan antarabangsa pada tahun hadapan. Berikutan ituni, banyak negara, termasuk di rantau Asia, telah menyemak semula unjuran pertumbuhan KDNK kepada paras yang lebih rendah. Ini termasuklah Singapura yang sedang mengalami kemelesetan ekonomi dan telah menurunkan anggaran sasaran pertumbuhan KDNK daripada 4 atau hingga 5 5 peratus kepada 3 peratus bagi 2008. Bagi 2009, negara India juga telah menurunkan anggaran sasaran pertumbuhan daripada 8.5 peratus kepada 7.7 peratus manakala pertumbuhan negara China dijangka menurun daripada 9.7 peratus kepada 9.3 peratus. Dengan mengambil kira semua faktor global dan domestik serta pelaksanaan langkah-langkah tambahan Bajet 2009, saya dengan ini mengumumkan bahawa sasaran pertumbuhan KDNK yang dikaji semula pada tahun 2009 ialah 3.5 peratus. Ini masih di tahap yang memuaskan berdasarkan kepada senario ekonomi global semasa. Sementara itu, kerajaan yakin negara akan terus mencatat pertumbuhan ekonomi yang positif, iaitu 3.5 peratus pada 2009, dengan defisit fiskal Kerajaan bagi 2009 masih di tahap yang terkawal yang dianggarkan sebanyak 4.8 peratus. Punca defisit ini ialah kerana kerajaan memilih untuk terus mengadakan bajet yang mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi. Tahap ini adalah serupa dengan anggaran defisit tahun 2008. Defisit 4.8 peratus ini adalah bersifat sementara, dalam lingkungan yang munasabah memandangkan negara mempunyai kecairan yang mencukupi untuk meminjam daripada pelbagai sumber dalaman. Kerajaan akan mengamalkan dasar "expansionary", seperti mana juga yang diamalkan oleh negara-negara lain pada masa kini. Dalam konteks Bajet 2009 yang telah dibentangkan, Kerajaan mempunyai fleksibiliti untuk melaksanakan projek-projek tambahan berimpak tinggi berikutan daripada penjimatan subsidi minyak. Melalui penjimatan ini, sukacita diumumkan bahawa . Selaras dengan kerajaan akan melaksanakan pelbagai inisiatif membabitkan suntikan peruntukan sebanyak RM7 bilion. Ini adalah penting untuk memangkinkan aktiviti ekonomi dalam negeri, serta merangsang keyakinan sektor swasta dan menjamin kesejahteraan rakyat. Kerajaan sedar bahawa harga barang masih di tahap yang membebankan pengguna. Namun langkah-langkah proaktif sedang diambil seperti kempen penurunan harga barang oleh pasaraya yang berkaitan. Apabila harga minyak turun, sewajarnya harga barang juga turun. Oleh itu, para peniaga disaran agar lebih bertanggungjawab dengan tidak terlalu mengaut keuntungan di samping pengguna wajar mengambil langkah bijak ketika berbelanja. Kadar inflasi pada 2009 dijangka berada pada tahap tiga hingga empat peratus, jika harga minyak sedunia kekal dalam trend menurun sebagaimana sekarang. Mengenai penstabilan harga kelapa sawit, Malaysia dan Indonesia akan terus bekerjasama rapat. Antara langkah yang diambil ialah mengurangkan bekalan sawit melalui program penanaman semula. Selain itu, usaha untuk mengeluarkan biodiesel daripada sawit, iaitu adunan lima peratus biobahan api sawit (metil ester) dengan diesel fosil, akan sentiasa dipertingkatkan bagi menambah permintaan terhadap sawit. Mulai bulan Februari 2009, biodiesel ini akan digunakan bermula dengan kenderaan-kenderaan Kerajaan, diikuti dengan sektor industri dan sektor pengangkutan. Pengadunan ini dianggarkan akan memerlukan sebanyak 500,000 tan minyak sawit setahun apabila dilaksanakan sepenuhnya pada awal tahun 2010. Kerajaan memang memberi perhatian kepada pekebun kecil terutama yang terbabit dalam sektor pertanian. Bagi mengurangkan kos input pertanian terutamanya baja, Kerajaan bersetuju memansuhkan duti import sebanyak lima peratus yang dikenakan ke atas tujuh jenis baja. Ini adalah tambahan kepada penghapusan duti import ke atas satu jenis baja semasa pembentangan Bajet 2009. Dengan langkah ini, semua baja mineral yang diimport tidak lagi dikenakan duti. Di samping itu, dengan penurunan harga minyak mentah, pihak industri pengeluar baja tempatan telah bersetuju untuk membantu usaha kerajaan dalam mengurangkan sekurang-kurangnya 15 peratus harga baja dengan serta merta. Dalam usaha memperkukuhkan daya tahan negara dan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi dalam menghadapi persekitaran global yang semakin mencabar, Kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah tambahan dalam Bajet 2009. Penekanan akan diberi untuk menggalakkan aktiviti ekonomi domestik bagi untuk menjana pertumbuhan ekonomi. Dasar "export-led recovery", yang diamalkan semasa krisis kewangan 1997/98 dengan jayanya, tidak dapat dilaksanakan dalam suasana kini, memandangkan keadaan permintaan dan perdagangan antarabangsa semakin lembab. Pembentangan Bajet 2009 yang lalu sememangnya sudah mengambil kira dan mengunjurkan senario global yang mencabar bagi tahun 2009. Namun, perubahan perkembangan ekonomi global yang tiba-tiba dan mendadak sejak akhir-akhir ini, memerlukan kita mengambil tindakan proaktif untuk optimal menangani kesan daripada krisis global masa kini. Keadaan yang luar biasa memerlukan tindakan yang juga luar biasa atau "extraordinary times, require extraordinary measures". Kerajaan sedar bahawa langkah-langkah tambahan biasanya tidak diumumkan dalam ucapan penggulungan. Walaupun pengumuman langkah tambahan ini mungkin tindakan "unprecedented", ini perlu dalam suasana global yang semakin getir. Perlu ditekankan bahawa jumlah perbelanjaan yang dibentang pada Bajet 2009 masih tidak berubah. Segala perbelanjaan yang digunakan untuk langkah-langkah tambahan ini adalah hasil penjimatan dari subsidi minyak. Pembangkang telah mencadangkan suatu bajet alternatif yang bersifat menguncup (contractionary) dengan potongan sebanyak RM24 bilion daripada jumlah Bajet 2009. Ini adalah suatu cadangan yang akan membawa ke lembah kehancuran ekonomi sebagaimana yang pernah dicadangkan pada 1997 oleh Menteri Kewangan ketika itu. Sebaliknya, cadangan yang diumumkan ini adalah bersifat expansionary sebagai penjana pertumbuhan yang berganda sifatnya. Ketika ekonomi dunia menguncup, langkah yang tepat ialah menyuntik dana tambahan agar ekonomi tidak mengalami kemelesetan, sebaliknya boleh terus berkembang. Inilah perbezaan yang amat ketara antara cadangan bernas kerajaan dan cadangan hampas pihak pembangkang. Bajet 2009 perlu dilaksanakan sungguhpun ia mungkin tindakan unprecedented. Kerajaan akan melaksanakan dasar fiskal yang mengembang (expansionary). Untuk ini, Kerajaan akan menyemak semula projek-projek dengan tujuan untuk memberi keutamaan kepada projek yang boleh dilaksanakan segera serta mempunyai kesan pengganda yang tinggi (high multiplier effect) dan kandungan import yang rendah. Ini akan dilaksanakan tanpa menjejaskan jumlah perbelanjaan pembangunan yang telah diperuntukkan bagi tahun 2009 sebelum ini. Sebagai contoh, Kerajaan telah menangguhkan pembelian helikopter untuk Kementerian Pertahanan dan Kementerian Dalam Negeri, supaya penjimatan ini boleh digunakan untuk projek pembangunan lain. Tuan Yang Dipertua, Sebagai tanda dan bukti kerajaan amat prihatin tentang kesejahteraan rakyat, maka penjimatan RM7 bilion daripada daripada subsidi minyak akan disalurkan akan digunakan seperti berikut: Pertama:
Untuk memastikan lebih ramai rakyat mampu untuk memiliki rumah, sebanyak RM1.2 bilion diperuntukkan bagi membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana.
Dengan peruntukan tambahan ini, sebanyak 6,500 unit rumah akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad, sebanyak 4,000 unit rumah akan dibina di bawah Program Perumahan Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan 15,000 unit rumah yang bernilai antara RM30,000 hingga RM35,000 sebuah untuk Semenanjung dan antara RM35,000 hingga RM40,000 untuk Sabah dan Sarawak. Rumah ini akan dibina di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Dianggarkan secara purata, sebanyak 100 rumah PPRT akan dibina di setiap daerah di seluruh negara.
Program Amal Jariah, yang dikendalikan oleh Prokhas, anak syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan, adalah bertujuan membaikpulih rumah usang rakyat miskin tegar supaya mereka dapat menikmati rumah yang selesa dan selamat didiami. Program yang mula dilancarkan pada awal tahun ini, telah berjaya membaik pulih 7,000 unit rumah yang dianggar membabitkan peruntukan RM40 juta. Pada 2009, Prokhas akan membaiki 15,000 unit rumah sementara Khazanah Nasional akan menyelaraskan usaha-usaha syarikat GLC untuk melaksanakan Program Sejahtera yang membabitkan pembaikan 5,000 rumah.
Selain itu, untuk memudahkan golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai pendapatan tetap mendapatkan pinjaman perumahan, Kerajaan telah menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi pinjaman perolehan rumah sehingga RM100,000. Sejak dilancarkan, sebanyak 800 peminjam, termasuk peniaga kecil, petani dan nelayan, telah diluluskan pinjaman berjumlah RM35 juta.
Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi menyenggara dan membaik pulih kemudahan awam. Kedua:
Bagi mengiktiraf peranan anggota keselamatan dan menjaga kebajikan mereka, RM500 juta diperuntukkan bagi menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara balai dan kuarters polis serta kem dan kuarters dan kuarters tentera; iaitu RM250 juta untuk polis dan RM250 juta juga untuk tentera.
Projek ini akan dilaksanakan dengan segera kerana pada pandangan kerajaan, kebajikan anggota pasukan keselamatan wajar sentiasa didahulukan. Ketiga:
Sebanyak RM600 juta diperuntukkan bagi projek kecil; di bawah program Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS), contohnya menyenggara jalan kampung, membina balai raya dan jambatan kecil.
Peruntukan ini akan dapat juga membantu kontraktor-kontraktor kecil bagi menyelesaikan masalah kekurangan projek pembinaan. Selain itu, ia dapat memberikan prasarana yang lebih sempurna kepada rakyat, khasnya di luar bandar. Keempat
Sebanyak RM500 juta diperuntukkan bagi menyenggara dan membaik pulih kemudahan awam; antaranya sekolah, hospital dan jalan raya. Kelima:
RM500 juta akan diperuntukkan untuk membina, menaik taraf jalan di luar bandar, jalan-jalan kampung dan jalan-jalan pertanian, termasuk di Sabah dan Sarawak.
Sekali lagi, ini melambangkan keprihatinan kerajaan bagi mengembangkan sektor pembinaan yang mempunyai kesan gandaan tinggi selain memastikan budaya penyelenggaraan dijadikan amalan. Pada ketika yang sama, kebajikan rakyat dalam pendidikan, perubatan dan perhubungan dapat diperbaiki. Keenam:
Untuk merangsangkan lagi pendidikan negara dan mengambil kira kehendak semua kaum, maka kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta kepada empat kumpulan sekolah, iaitu RM50 juta untuk sekolah agama bantuan kerajaan, RM50 juta untuk "mission school", 50 juta untuk SJK Cina dan RM50 juta untuk SJK Tamil. Ketujuh:
Sebanyak RM300 juta diperuntukkan bagi menubuhkan dana untuk melaksanakan program latihan kemahiran yang ditumpukan ke arah memenuhi keperluan majikan dan industri, terutamanya di Koridor-koridor Pembangunan. Agihan dana ini akan diselaraskan dengan pihak berkuasa koridor pertumbuhan, Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri dan organisasi lain yang berkaitan. Sektor yang akan diberi tumpuan untuk latihan berkenaan adalah sektor pelancongan, kesihatan, pembinaan dan "business process outsourcing".
RM500 juta diperuntukkan bagi menyenggara dan menaik taraf pengangkutan awam. Kelapan:
Kerajaan amat sedar bahawa kos sara hidup di bandar adalah tinggi termasuk untuk menampung kos pengangkutan. Oleh itu, Kerajaan akan memperuntukkan RM500 juta bagi menyelenggara dan memantapkan lagi sistem pengangkutan awam khususnya sistem LRT, Komuter dan sistem bas di bandar utama.
Seperti dibentang YAB Perdana Menteri, kerajaan adalah komited untuk memperluaskan sistem pengangkutan awam agar lebih cekap dan "reliable", termasuk melaksanakan projek utama seperti penambahan sistem LRT, meningkatkan kapasiti aliran Kelana Jaya dan aliran Ampang, memperluaskan lagi perkhidmatan rel di Lembah Klang dan mewujudkan satu aliran baru dari Kota Damansara ke Cheras. Semua usaha ini akan memberi manfaat kepada lebih satu juta pengguna.
Sebanyak RM1 bilion diperuntukkan bagi membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana. Kesembilan:
RM1.5 bilion diperuntukkan bagi menubuhkan Dana Pelaburan untuk menarik lebih banyak pelaburan sektor swasta.
Dana ini adalah bertujuan menarik aktiviti pelaburan swasta yang berdaya maju. Tumpuan akan diberi kepada sektor strategik yang bernilai tambah tinggi dan projek berimpak besar dari segi nilai pelaburan, teknologi dan "knowledge workers".
Dana ini akan digunakan untuk memberi geran, pinjaman mudah atau modal ekuiti kepada pelabur. Pendekatan sebegini telah berjaya menarik pelabur dalam sektor perkhidmatan berteknologi tinggi, seperti Dell, Hewlett Packard dan Satyam, ke Cyberjaya serta dalam sektor pembuatan bernilai tambah yang tinggi, seperti pengeluaran panel solar, industri aeroangkasa dan komponen kapal terbang.
RM300 juta diperuntukkan bagi menubuhkan dana bagi melaksanakan program latihan; Kesepuluh:
RM400 juta diperuntukkan bagi menyegerakan pelaksanaan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi.
Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi ini adalah penting untuk memastikan daya saing negara pada masa hadapan. Prasarana sebegini akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan aktiviti ekonomi, perniagaan dan seterusnya melonjakkan negara ke tahap nilai tambah yang lebih tinggi. Selain itu, pelaksanaan projek ini akan meningkatkan kualiti hidup rakyat di samping menjadi pemangkin kepada pelaburan swasta dalam sektor berteknologi tinggi. Ia juga akan menyumbang kepada pertumbuhan KDNK dan menambahkan peluang pekerjaan. Menjelang akhir 2009, perkhidmatan ini akan dapat disediakan kepada 300,000 premis, terutamanya di Lembah Klang dan juga kawasan industri seperti di Bayan Baru, Senai dan Kulim.
Pihak pembangkang telah mencadangkan agar projek ini dikaji semula. Sebenarnya, jika kita lambat untuk melaksanakannya, negara akan terus tertinggal ke belakang di dalam arus kepesatan teknologi moden, selaras dengan keperluan pembangunan ekonomi masa kini. Kesebelas:
Untuk membina modal insan melalui program-program latihan yang diurus oleh kementerian yang berkaitan, kerajaan akan memperuntukkan RM200 juta. Ini adalah peruntukan bagi membiayai program daripada institusi latihan swasta dan pesertanya terdiri daripada golongan belia dan beliawanis daripada semua kaum. Nama-nama pelatih boleh dikemukakan oleh kementerian yang berkenaan seperti Kementerian Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Sumber Manusia serta Pembangunan Wanita dan Keluarga. Keduabelas:
Untuk memperkasakan golongan belia melalui program program baru, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta. Antara program terbabit ialah rakan muda sekolah, rakan muda sektoral yang membabitkan kampung baru Cina, estet untuk kaum India, kampung orang asli dan kaum pribumi di Sabah dan Sarawak. Ketigabelas:
Untuk menggerakkan semula projek perumahan yang terbengkalai di kawasan strategik terpilih dan berdaya maju, kerajaan bersetuju untuk memperuntukkan RM200 juta. Projek ini akan diuruskan oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB). Keempatbelas:
Untuk menambahkan premis perniagaan di samping memperindahkan suasana pekan kecil yang terpilih di seluruh negara, kerajaan akan memperuntukkan RM100 juta. Ini akan dapat menambah bilangan usahawan kecil dan sederhana, termasuk memasarkan produk keluaran tempatan. Program ini akan dilaksanakan oleh MARA di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi. Kelima belas:
Untuk melahirkan generasi masa hadapan yang lebih berkualiti, RM200 juta diperuntukkan untuk pendidikan awal kanak-kanak di peringkat umur satu hingga enam tahun. Ini termasuk program seperti Permata Negara, Tadika Kemas, Tadika Perpaduan dan kelas prasekolah. Penjimatan RM7 bilion yang diperoleh daripada subsidi ini akan diperuntukkan semula oleh Kementerian Kewangan untuk melaksanakan projek yang disebutkan. Penjimatan ini adalah suatu rahmat untuk diagihkan kepada rakyat di samping dapat menjana pertumbuhan ekonomi. Usaha ini akan memberikan kesan positif antara lain dalam sektor pembinaan, perumahan, pengangkutan, pelaburan, latihan dan teknologi maklumat. Kerajaan sedar bahawa di dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kepantasan bertindak untuk melaksanakan semua program yang baru disebutkan tadi adalah amat kritikal. Oleh itu, kerajaan akan menubuhkan Unit Pengurusan Projek (Project Management Unit - PMU) di bawah Kementerian Kewangan untuk memantau dan menyelaras pelaksanaan projek kritikal dan berimpak tinggi, ke arah memastikan pelaksanaan yang cekap dan berkesan. Tumpuan akan diberi bagi projek yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi serta kritikal bagi menjana pertumbuhan ekonomi. Unit ini akan melapor terus kepada Menteri Kewangan dan dianggotai oleh pegawai-pegawai kanan kerajaan, badan kawal selia, dan syarikat berkaitan kerajaan yang terpilih. Sebagai satu langkah baru untuk menjana pendapatan tambahan dan mencetuskan kegiatan ekonomi tempatan yang lebih rancak, Kerajaan akan mempercepatkan kerja-kerja membaik pulih dan penyelenggaraan kemudahan awam, antaranya sekolah, hospital dan jalan raya. Ini membabitkan peruntukan tambahan RM1.2 bilion. Selain itu, sebanyak RM1.2 bilion juga diperuntukkan untuk kerja menaik taraf, membaik pulih dan penyelenggaraan balai polis serta kuarters tentera. Sebanyak RM600 juta lagi diperuntukkan bagi projek kecil di bawah program Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS). Projek serta program mempertingkatkan kecekapan pengangkutan awam juga akan disegerakan. Sebagai langkah berterusan untuk menyediakan pengangkutan awam yang lebih luas dan efisyen, kerajaan akan membelanjakan RM35 bilion untuk melaksanakan projek meningkatkan kapasiti perkhidmatan rel serta menyediakan kemudahan infrastruktur berkaitan dalam tempoh 2009-2014. Di samping itu, peruntukan RM500 juta akan digunakan untuk penyenggaraan dan menaik taraf pengangkutan awam. Di Lembah Klang, Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) kini sedang menyediakan kajian kejuruteraan terperinci bagi penyambungan sistem LRT sedia ada sepanjang 30 km, iaitu Aliran Kelana Jaya dan Aliran Ampang. Kedua-dua projek ini dijangka siap pada 2011 dan akan memanfaatkan lebih 500,000 bilangan penduduk di sepanjang Koridor Subang Jaya-USJ dan Koridor Kinrara-Puchong. Bagi menangani kesesakan waktu puncak yang kini dialami di Aliran Kelana Jaya, 35 set tren sedang diperoleh dengan kos RM1.3 bilion. Tren set pertama dijangka diperoleh pada suku pertama 2009 dan semua tren set akan beroperasi sepenuhnya pada awal 2010. Dengan ini, kapasiti Aliran Kelana Jaya akan meningkat lebih dua kali ganda, daripada 160,000 penumpang sehari pada masa ini kepada 350,000 penumpang. Untuk memperluaskan lagi jaringan perkhidmatan rel bandar di Lembah Klang, satu laluan Koridor baru Kota Damansara-Cheras, sepanjang lebih kurang 42 kilometer (km) akan dibina dengan kapasiti melebihi 300,000 penumpang sehari. Prasarana sedang mengkaji laluan terperinci bagi koridor ini yang akan juga mengambil kira keperluan menangani kesesakan lalu lintas di lebuh raya LDP. Seramai setuju juta penduduk dijangka mendapat manfaat daripada koridor baru ini. Kerajaan juga akan membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana untuk memastikan kesejahteraan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Untuk tujuan ini, peruntukan tambahan RM1 bilion akan disediakan. Dengan peruntukan tambahan ini, sebanyak 6.5 juta unit rumah akan dibina oleh Syarikat Perumahan Negara Berhad, sebanyak 4,000 unit rumah akan di bina di bawah Program Perumahan Rakyat di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan 42,000 unit rumah akan dibina di bawah Program Perumahan Rakyat Termiskin di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah. Program Amal Jariah bertujuan membaikpulih rumah usang rakyat miskin tegar supaya mereka dapat menikmati rumah yang selesa dan selamat didiami. Program ini yang mula dilancarkan pada awal tahun ini, telah berjaya membaik pulih 7,000 unit rumah. Berikutan seruan Kerajaan bagi sektor swasta menyumbang kepada program yang sama, Khazanah Nasional Berhad akan melaksanakan Program Sejahtera dan sebagai permulaan sebanyak 600 rumah telah dikenal pasti. Selain itu, untuk memudahkan golongan berpendapatan rendah yang tidak mempunyai pendapatan tetap mendapatkan pinjaman perumahan, Kerajaan telah menyediakan Skim Jaminan Kredit Perumahan bagi pinjaman perolehan rumah sehingga RM100,000. Sejak dilancarkan, sebanyak 800 peminjam, termasuk peniaga kecil, petani dan nelayan, telah diluluskan pinjaman berjumlah RM35 juta. Kerajaan bercadang untuk memaksimumkan pulangan daripada semua aset yang sedia ada termasuk tanah-tanah yang belum dibangunkan lagi. Antara aset tersebut ialah tanah di lokasi strategik yang boleh dimajukan. Sehubungan dengan ini, kerajaan bercadang untuk menggunakan kaedah baru, iaitu dengan memanggil tender terbuka, yang membabitkan sektor swasta dan GLC bagi memajukan tanah tersebut. Kerajaan akan menentukan kriteria dan skop pelan pembangunan yang akan disertai dalam syarat syarat tawaran. Sekiranya konsep pembangunan ini dapat dilaksanakan, kerajaan dijangka akan memperoleh pendapatan besar, akan menggalakkan inisiatif untuk membangunkan aset Kerajaan melalui kaedah usaha sama dan Private Financing Initiative (PFI). Ini bertujuan untuk merancakkan aktiviti ekonomi serta memaksimumkan pulangan kepada Kerajaan daripada aset-aset yang sedia ada, terutamanya tanah terbiar. Aset Kerajaan yang sesuai seperti tanah akan ditenderkan kepada sektor swasta yang berdaya maju secara berperingkat. Kerajaan akan mengenal pasti Bagaimanapun, kerajaan akan menetapkan syarat-syarat yang tertentu bagi pembangunan tanah tersebut, termasuk penggunaan tanah agar selari dengan dasar dan agenda pembangunan setempat Kerajaan. Antara aset-aset, dalam bentuk tanah-tanah yang strategik, yang boleh ditawarkan di bawah inisiatif kerajaan yang terbabit dalam inisiatif ini ini termasuk tanah Lembaga Getah Malaysia di Sungai Buloh, tanah Kerajaan di Jalan Cochrane dan Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur serta Kuala Lumpur, tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Cheras, Kuala Lumpur dan tanah Kerajaan di Jalan Ampang Hilir, Kuala Lumpur. Satu unit khas Pejabat Pengurusan Program di bawah Kementerian Kewangan akan ditubuhkan untuk memantau dan menyelaras pelaksanaan projek kritikal dan berimpak tinggi, ke arah memastikan pelaksanaan yang cekap dan berkesan. Tumpuan akan diberi bagi projek yang mempunyai kesan pengganda yang tinggi serta kritikal bagi menjana pertumbuhan ekonomi. Untuk menggalakkan perbelanjaan penggunaan swasta, walaupun kita menghadapi kemelut ekonomi global, kerajaan akan tetap mampu untuk menyegerakan memperluaskan liputan Jaringan Keselamatan Sosial ke arah meningkatkan pendapatan dan kuasa beli rakyat yang miskin dan berpendapatan rendah. Dalam hal ini, usaha sedang dilaksanakan ke arah pendaftaran serta liputan penuh penerima bantuan berdasarkan tahap kelayakan baru yang diumumkan pada pembentangan Bajet 2009 lalu. Syarat asas pemberian Bantuan Kebajikan Bulanan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dinaikkan daripada RM400 kepada RM720 untuk Semenanjung Malaysia, RM830 untuk Sarawak dan RM960 untuk Sabah, selaras dengan Pendapatan Garisan Kemiskinan. Dengan ini, bilangan isi rumah yang akan menerima bantuan akan meningkat daripada 55,000 kepada 110,000 orang. Kerajaan mensasarkan liputan penuh ini akan dicapai pada akhir tahun ini. Pada masa ini, caruman majikan kepada KWSP adalah 12 peratus manakala caruman pekerja adalah 11 peratus. Sebagai langkah untuk menambah pendapatan boleh guna pekerja, kerajaan akan membenarkan pekerja untuk mengurangkan potongan caruman pekerja KWSP secara sukarela sebanyak tiga peratus selama dua tahun, mulai 1 Januari 2009. Dengan penurunan ini, jumlah caruman masih pada tahap munasabah 20 peratus iaitu 12 peratus majikan dan 8 peratus pekerja. Seseorang yang berpendapatan RM2,000 sebulan akan memperoleh pendapatan boleh guna tambahan sebanyak RM60 sebulan, manakala seseorang yang berpendapatan RM66,000 sebulan akan memperoleh pendapatan boleh guna tambahan sebanyak RM1,880 sebulan. Sekiranya semua pencarum memilih untuk mengurangkan caruman, jumlah yang terbabit untuk setahun adalah RM4.87 bilion setahun. Sekiranya kita mengandaikan bahawa hanya 50 peratus daripada pencarum akan menggunakan kemudahan ini, perbelanjaan penggunaan swasta akan dijangka meningkat sebanyak RM2.4 bilion. Untuk memudahkan penjawat awam memiliki kereta, kerajaan akan meningkatkan had kelayakan siling kadar pinjaman kereta bagi penjawat awam seperti berikut:
Bagi gred JUSA, had kelayakan siling dinaikkan daripada RM60,000 kepada RM70,000;
Bagi gred 41 hingga 54, had kelayakan siling dinaikkan daripada RM55,000 kepada RM65,000 ; dan
Bagi kumpulan sokongan, had kelayakan siling dinaikkan daripada RM45,000 kepada RM55,000. Penjawat awam juga akan diberi kebenaran untuk mengambil pinjaman perumahan bagi hartanah di pasaran sekunder di mana hak milik strata belum dikeluarkan. Kerajaan telah mengumumkan tempoh bayaran balik bagi pinjaman perumahan baru kakitangan Kerajaan dilanjutkan daripada 25 tahun kepada 30 tahun. Untuk memastikan peminjam sedia ada mendapat kemudahan yang sama, peminjam diberi pilihan untuk melanjutkan tempoh pinjaman kepada 30 tahun. Langkah ini akan dapat membantu menambah pendapatan boleh guna peminjam. Sebagai contoh, seorang penjawat awam yang kini mempunyai pinjaman RM190,000 selama 25 tahun, dan telah pun menjelaskan pinjaman beliau selama 10 tahun, dengan melanjutkan tempoh pinjamannya, beliau dapat mengurangkan ansuran bulanannya daripada RM1,000 sebulan kepada RM820 sebulan ataupun lebihan pendapatan boleh guna sebanyak RM180 sebulan. Pihak kerajaan, melalui Bank Negara juga akan menyaran dan menggesa pihak bank mengambil inisiatif untuk memberi kelonggaran dan menstrukturkan semula pinjaman bagi peminjam-peminjam yang memerlukan. Kerajaan telah mengumumkan tempoh bayaran balik bagi pinjaman perumahan baru kakitangan Kerajaan dilanjutkan daripada 25 tahun kepada 30 tahun. Untuk memastikan peminjam sedia ada mendapat kemudahan yang sama, peminjam diberi pilihan untuk melanjutkan tempoh pinjaman kepada 30 tahun. Langkah ini akan dapat membantu menambah pendapatan boleh guna peminjam mulai 2008. Untuk menggalakkan perkembangan perniagaan runcit dan industri pelancongan domestik, maka kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, memberi kebenaran untuk pasar raya besar (kemudahan pengguna, kompleks beli-belah hyper markets) serta hyper markets akan dibenarkan untuk melanjutkan masa perniagaan sehingga jam 12 malam pada hari biasa. Pada hujung minggu pula, ia boleh dibuka sehingga jam 1 pagi. Untuk pasar raya di pusat membeli belah, premis ini boleh dibuka sepanjang masa tertakluk kepada kebenaran kerajaan tempatan. Selain itu, langkah ini adalah selaras dengan objektif untuk menjadikan negara sebagai destinasi membeli-belah yang menarik. Kerajaan berharap dengan langkah ini, kompleks membeli-belah akan terus menyambut dengan baik usaha kempen penurunan harga barang yang telah dimulakan baru-baru ini. Untuk menggalakkan perbelanjaan pelaburan swasta, kerajaan akan menubuhkan Dana Pelaburan sebanyak RM2 bilion untuk menarik aktiviti pelaburan swasta yang berdaya maju, terutama di Lembah Klang dan Koridor Pertumbuhan. Tumpuan akan diberi kepada sektor pertumbuhan seperti perkhidmatan dan pembuatan bernilai tambah tinggi, yang mana Malaysia mempunyai potensi dan daya saing yang tinggi. Ini termasuk subsektor perbankan Islam, pelancongan, kesihatan, pendidikan dan juga 'business process outsourcing'. Selain itu, subsektor elektronik dan bioteknologi juga akan diberi tumpuan. Sasaran utama dari segi pelabur asing adalah daripada negara yang masih mempunyai tahap pertumbuhan ekonomi dan kecairan modal yang tinggi seperti China, India dan Timur Tengah. Dana ini akan digunakan untuk memberi geran, pinjaman mudah atau modal ekuiti kepada pelabur. Pendekatan sebegini, kerajaan telahpun berjaya menarik pelabur dalam sektor perkhidmatan berteknologi tinggi, seperti Dell, Hewlett Packard dan Satyam, ke Cyberjaya serta projek bernilai tambah tinggi dalam sektor pembuatan bernilai tambah tinggi, seperti pengeluaran panel solar panel dan komponen kapal terbang. Kerajaan juga komited kepada usaha meliberalisasikan sektor perkhidmatan di bawah Perjanjian Rangka Kerja Perkhidmatan Asean (AFAS), Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) dan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) di peringkat dua hala dan serantau. Di bawah AFAS, semua sektor perkhidmatan akan dibuka sehingga 70 peratus pegangan asing pada 2015. Antara sektor yang akan dibuka termasuklah sektor logistik, aktiviti tertentu dalam sektor telekomunikasi, pelancongan, perkhidmatan hospital swasta dan sektor pengajian tinggi. Kerajaan akan membuat pengumuman terperinci setelah mendapat kelulusan Kabinet berasaskan cadangan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Dalam hal ini, kerajaan juga akan memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan dan modal insan. Kapasiti sektor perkhidmatan akan ditingkatkan melalui program latihan pekerja tempatan serta memudahkan pengaliran masuk pekerja mahir dan profesional asing. Pelancongan kesihatan dan pendidikan adalah subsektor yang berpotensi besar dalam sektor perkhidmatan. Untuk terus merangsang dalam subsektor tersebut, kerajaan akan menyediakan garis panduan untuk memudah cara pengambilan profesional dan pelatih asing, memudahkan pengiktirafan kelayakan asing, memudah cara proses visa bagi pesakit dan keluarga serta menyelaras syarat-syarat berkaitan dengan penubuhan dan operasi hospital dan pusat latihan kesihatan. Pendekatan yang serupa akan diambil bagi subsektor pelancongan pendidikan, termasuk penubuhan sekolah swasta antarabangsa, dengan tumpuan diberi kepada koridor pertumbuhan seperti Iskandar Malaysia. Untuk menggalakkan aktiviti sektor swasta, langkah-langkah liberalisasi berikut akan diambil: Pertama:
Menghapuskan duti import bagi simen dan keluaran besi keluli panjang (long iron and steel products) untuk sektor pembinaan dan pembuatan. Di samping itu, semua Approved Permit (AP) bagi keluaran besi keluli panjang akan dikecualikan. Langkah ini akan dapat menyokong usaha Kerajaan untuk merangsang pertumbuhan sektor pembinaan, di samping menyediakan persekitaran yang kompetitif dalam industri bekalan bahan binaan negara; Kedua:
Membenarkan syarikat multinasional menambah seorang lagi ekspatriat untuk membantu syarikat tersebut meningkatkan tahap kepakaran dan nilai tambah;
Membenarkan individu atau entiti asing untuk membeli hartanah komersial bernilai RM500,000 atau lebih, tanpa memerlukan kelulusan FIC, dengan syarat hartanah tersebut adalah untuk kegunaan sendiri. Langkah ini adalah untuk menggalakkan pelaburan, terutamanya pembangunan sektor hartanah negara;
Bagi memangkin aktiviti perniagaan dan pemasaran hartanah, program Malaysia My Second Home (MM2H) akan diliberalisasikan untuk membolehkan para peserta MM2H menjalankan perniagaan, dengan syarat mereka membeli hartanah perumahan bernilai sekurang-kurangnya RM2 juta atau mempunyai deposit tetap bernilai sekurang-kurangnya RM2 juta. Selain itu, para peserta MM2H akan diberi kebenaran untuk bekerja di dalam bidang khusus dan berteraskan pengetahuan; dan Ketiga:
Bagi memudahkan proses pengambilan pekerja asing berasaskan pengetahuan (knowledge worker), permit kerja, yang pada masa ini hanya diberi kepada majikan, akan juga diberi secara langsung kepada pekerja tersebut. Oleh itu, langkah ini akan meningkatkan fleksibiliti pekerja demikian dalam pasaran kerja, kerana mereka tidak akan terikat dengan majikan masing-masing. Pertumbuhan ekonomi yang lebih perlahan akan membawa kepada penjanaan peluang pekerjaan yang lebih lembab dan juga pengangguran. Oleh itu, dalam usaha menyediakan lebih banyak peluang latihan dan pekerjaan, Kerajaan akan mengambil langkah-langkah berikut: Pertama:
Kerajaan, melalui syarikat GLCs seperti Khazanah dan PNB akan melancarkan "Graduate Employability Management Scheme" (GEMS), yang didasarkan kepada skim graduan terdahulu yang telah dilaksanakan oleh syarikat-syarikat GLC dengan jayanya. Kerajaan bercadang untuk menyokong dan menyelaraskan usaha-usaha GLC dalam menangani masalah graduan menganggur ini dengan mewujudkan satu program bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran mereka sebelum mereka diserap atau mendapat pekerjaan di syarikat GLC mahupun swasta. Sasaran program ini ialah untuk melatih sehingga 12,000 graduan dalam jangkamasa dua tahun. Kerajaan yakin program ini dapat menyumbang kepada pertumbuhan penggunaan domestik di samping memberi pengalaman yang berharga kepada graduan terlibat. Program-program latihan di bawah seliaan Petronas dan CIDB akan diperluaskan dan kembangkan untuk menambah bilangan pelatih. Ini adalah penting untuk meningkatkan kepakaran dan membina keupayaan dalam sektor pembinaan dan petroleum khususnya;
Menyediakan dana untuk melaksanakan program latihan awalan bagi mengisi kekosongan dan keperluan pekerjaan, terutamanya di inisiatif-inisiatif utama Koridor Pembangunan. Untuk tujuan ini, Kerajaan akan menyediakan dana RM300 juta. Kementerian Kewangan akan menguruskan dana ini dan menyelaraskan agihan dana ini akan diselaraskan dengan pihak berkuasa koridor pertumbuhan, Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri dan lain-lain organisasi yang berkaitan. Sektor yang akan diberi tumpuan untuk latihan itu adalah subsektor pelancongan, kesihatan, pembinaan dan business process outsourcing; Menggalakkan pengambilan warga negara Malaysia dari golongan profesional dan pekerja berkemahiran yang telah diberhentikan kerja di luar negara berikutan kesan krisis kewangan global. Ini termasuk pegawai bank saudagar, penasihat pelaburan, pengurus dana dan lain-lain yang berkaitan. Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti akan menyelaraskan inisiatif ini; Kedua:
Mempercepatkan pengambilan kakitangan bagi jawatan yang kritikal dan amat diperlukan dalam sektor awam. Pada masa ini, kekosongan jawatan kritikal dalam sektor awam adalah 18,000. Kekosongan ini akan diisi secara kontrak, sementara menunggu proses pelantikan secara tetap. Dalam tahun ini, lebih 1,300 kakitangan telah dilantik secara kontrak bagi Jabatan Kerja Raya bagi meningkatkan keupayaannya dalam melaksanakan projek-projek di bawah RMK-9. Dengan langkah ini, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menegaskan sekali lagi bahawa Kerajaan tidak bercadang untuk memberhentikan kakitangan kontrak di dalam perkhidmatan Kerajaan sebagaimana dilaporkan dalam media. Susulan suasana ekonomi yang mencabar; Untuk membantu usahawan yang menjalankan perniagaan kecil, Bank Negara Malaysia akan menyediakan pinjaman mudah RM200 juta bagi melaksanakan skim mikro kredit. Dana tambahan ini akan diselaraskan dan diagihkan melalui saluran sedia ada. Selain itu, kerajaan juga telah menyediakan dana modal pusingan RM100 juta untuk Program Kewangan Mikro Bandar. Program ini diletakkan di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) memandangkan kejayaan program yang sama bagi kawasan luar bandar. Sejak dilancarkan awal tahun ini, Program Kewangan Mikro Bandar sehingga kini telah mengeluarkan pembiayaan melebihi setengah juta ringgit kepada hampir 200 peminjam. Untuk merangsang aktiviti pasaran modal, baru-baru ini, saya telah mengumumkan penambahan dana Valuecap sebanyak RM5 bilion untuk pembelian ekuiti syarikat-syarikat yang mempunyai asas yang kukuh tetapi nilai pasaran mereka kini terjejas berikutan kesan pergolakan pasaran ekuiti global. Dana tambahan ini akan diperoleh melalui pinjaman daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dijamin kerajaan. Pulangan yang akan diperoleh KWSP adalah lebih kurang pulangan yang diperoleh sekuriti kerajaan. Oleh itu, pinjaman ini bukan saja menjamin pulangan yang lebih tinggi daripada kadar deposit institusi perbankan, tetapi juga pelaburan yang mempunyai risiko yang paling minimum kepada KWSP. Pemegang ekuiti Valuecap, iaitu Khazanah Malaysia, Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Kumpulan Wang Persaraan (KWAP), adalah agensi-agensi kerajaan yang mempunyai kedudukan kewangan yang kukuh dan pelabur terbesar dalam pasaran ekuiti negara. Valuecap ditubuhkan pada 2003 dengan dana RM5 bilion semasa pasaran ekuiti negara mengalami kegawatan. Sebagai pelabur jangka panjang, Valuecap melabur dalam syarikat-syarikat blue chips di sektor-sektor utama seperti kewangan, perkhidmatan, perladangan, pembinaan, hartanah, industri, tenaga, dan komunikasi. Valuecap mempunyai mandat untuk melabur dalam mana-mana syarikat dan bukan saja dalam syarikat berkaitan Kerajaan (GLC). Langkah yang serupa juga telah dilaksanakan di beberapa negara, seperti Tracker Fund of Hong Kong semasa krisis kewangan tahun 1998 dan baru-baru ini, oleh Qatar Investment Authority dan juga sebuah dana pencen terbesar di Korea. Untuk melancarkan lagi proses perolehan kerajaan supaya lebih telus dan mendapat "value for money", kerajaan akan memastikan bahawa sebahagian besar perolehan kerajaan akan dilakukan melalui tender terbuka dan tender terhad. Perolehan kerajaan untuk kontrak-kontrak Bumiputera juga akan ditenderkan melalui "competitive bidding" di kalangan syarikat-syarikat Bumiputera. Hasrat kerajaan ialah supaya kontraktor-kontraktor Bumiputera dapat bersaing dengan sihat dan meningkatkan lagi daya tahan mereka. Bagaimanapun, kerajaan masih ada budi bicara untuk menimbangkan rundingan terus atas pertimbangan tertentu. Pengecualian daripada dasar ini akan hanya dibuat di dalam keadaan tertentu saja. Langkah-langkah yang diumumkan ini, Insya-Allah, akan dapat menangani impak daripada suasana global yang mencabar. Dengan sokongan dan gandingan kesemua pihak termasuk sektor swasta dalam menangani krisis kewangan global dan pertumbuhan ekonomi dunia yang perlahan. Saya juga yakin dalam persekitaran yang mencabar ini, kesejahteraan rakyat akan terus dapat dijamin manakala pembangunan negara akan terus dapat dilaksanakan dengan jayanya. Tuan Yang Dipertua, Dengan penjelasan mengenai senario ekonomi global dan domestik serta langkah-langkah tambahan Bajet 2009 di atas, saya berpendapat beberapa isu utama berhubung Bajet 2009 yang dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat Ketua Pembangkang Permatang Pauh dan Ahli-ahli Yang Berhormat yang lain telah dijawab. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menjawab isu-isu lain yang telah dibangkitkan oleh ahli-ahli di Dewan yang mulia ini. PENGURUSAN MAKROEKONOMI Pelaburan Langsung Asing (FDI) Ahli Yang Berhormat Batu Pahat meminta Kerajaan menyediakan pelan yang lebih rapi dan melaksanakan pendekatan baru untuk menarik pelaburan langsung asing (FDI), khususnya daripada pelabur Timur Tengah. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Kerajaan telah melaksanakan pelbagai langkah dalam menarik pelaburan asing ke Malaysia. Ini termasuk langkah mengurangkan kos dalam menjalankan perniagaan melalui penambahbaikan proses dan mekanisme, menyediakan program perancangan dan pembiayaan perniagaan bersepadu bagi merangsang pelaburan industri serta mengkaji semula perundangan dan peraturan berkaitan pelaburan yang menghalang pembangunan industri. Langkah-langkah ini telah menunjukkan kejayaan di mana FDI bagi tempoh Januari hingga Ogos-Julai 2008 adalah RM362.85 bilion, berbanding jumlah FDI keseluruhan 2007 iaitu RM33.4 bilion. Langkah baru untuk menubuhkan Dana Pelaburan yang diumumkan tadi akan dilaksanakan segera bagi menyokong usaha menarik FDI yang lebih tinggi. Selain itu, kerajaan akan menyokong inisiatif peneraju Koridor Pembangunan untuk membuat misi pelaburan ke luar negara, terutamanya India, China dan Timur Tengah dalam usaha untuk menarik pelaburan yang tinggi dan mapan. Pelaburan Dalam Sektor Teknologi Tinggi Ahli Yang Berhormat Batu Pahat dan Ahli Yang Berhormat Kuala Selangor meminta kerajaan memberi penekanan terhadap pelaburan dalam sektor selain daripada yang berintensifkan buruh (labour intensive), khususnya kepada sektor berasaskan teknologi tinggi. Untuk makluman, kerajaan sentiasa memberi penekanan kepada pelaburan yang berasaskan pengetahuan (knowledge-intensive) dan teknologi terkini berbanding berasaskan buruh. Ini dapat dilihat daripada inisiatif-inisiatif Kerajaan dengan pembangunan koridor pertumbuhan wilayah, termasuk Iskandar Malaysia yang memberi penekanan kepada sektor perkhidmatan, yang mempunyai nilai tambah yang tinggi. Kerajaan sedang giat memajukan industri yang berpotensi, seperti kewangan Islam, pelancongan, pendidikan dan logistik yang memerlukan pengetahuan dan kemahiran yang tinggi. Pada masa yang sama, bagi sektor yang berintensifkan buruh seperti pembinaan dan pertanian, kerajaan juga telah mengambil langkah seperti menggalakkan penggunaan automasi dan jentera di ladang-ladang dan penggunaan sistem industrialised building system (IBS) dalam sektor pembinaan yang seterusnya mengurangkan pergantungan terhadap buruh asing. Dalam hal ini, kerajaan akan memastikan bahawa kandungan IBS dalam semua projek, kerajaan telah menetapkan untuk menguatkuasakan penggunaan sekurang-kurangnya 70 peratus kandungan IBS dalam semua projek kerajaan. DASAR PERCUKAIAN DAN SUBSIDI Ahli Yang Berhormat Bagan membuat saranan supaya mengurangkan cukai syarikat secara progresif daripada 25 peratus kepada 17 peratus. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kadar cukai korporat telah diturunkan dari 28 peratus pada tahun taksiran 2006 kepada 25 peratus pada tahun taksiran 2009. Cukai korporat di Malaysia adalah kompetitif berbanding di negara-negara lain. Sebagai contoh, kadar cukai korporat di India, Indonesia, United Kingdom, Jepun dan Australia adalah 30 peratus. Ahli Yang Berhormat Bagan juga menyentuh perubahan harga petrol secara harian dibuat selaras dengan perubahan harga pasaran harian minyak mentah dunia. Berkenaan dengan cadangan perubahan harga secara harian, ia hanya boleh dilaksanakan pada keadaan di mana harga minyak runcit di stesen minyak diapungkan sepenuhnya. Ini kerana di dalam keadaan semasa di mana kerajaan masih mengawal harga minyak runcit di stesen minyak serta memberikan subsidi, penetapan harga minyak secara harian adalah tidak efisyen dan menimbulkan banyak masalah pentadbiran., terutama dari aspek peningkatan kos menjalankan perniagaan dan masalah pelaksanaan kepada Kerajaan, syarikat minyak dan pengusaha stesen minyak. KEWANGAN DAN PERBANKAN PENGURUSAN KONTRAK DAN PEROLEHAN KERAJAAN Pembelian Ekuiti Bank Internasional Indonesia (BII) Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh meminta penjelasan terhadap pembelian 35 peratus saham BII oleh Maybank. Pembelian ini didakwa pada Book Value 4.2 ganda yang tinggi dan ingin mengetahui pihak mana yang terbabit dalam membuat keputusan ini, selain Menteri Kewangan. Suka saya memperjelaskan di sini, dakwaan bahawa keputusan pembelian berkenaan membabitkan Menteri Kewangan adalah tidak benar. Ini adalah suatu transaksi komersil dan keputusan hala tuju bank serta pelaburannya ditentukan oleh Lembaga Pengarah Maybank dan pemegang saham bank berkenaan. Selaras dengan urus tadbir korporat yang telus, lembaga pengarah adalah bertanggungjawab terhadap keputusan yang telah dibuat. Penjelasan yang sama juga terpakai bagi pembelian 20 peratus saham dalam MCB Bank di Pakistan oleh Maybank. Sistem Perbankan Islam Ahli Yang Berhormat Pontian meminta Kerajaan terus mengeksport kepakaran dalam sistem perbankan Islam, khususnya ke negara-negara Timur Tengah dan mencadangkan tindakan lebih agresif diambil bagi memperkenalkan perbankan Islam ke luar negara. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, kerajaan sememangnya memandang serius usaha untuk menghasilkan modal insan atau sumber manusia berkepakaran tinggi dalam kewangan Islam, terutama golongan profesional kewangan Islam yang mahir dalam syariah serta berpengetahuan dengan amalan terkini industri. Menjelang 2010, diunjurkan kira-kira 11,600 kakitangan terlatih dan profesional dalam kewangan Islam diperlukan dan jumlah itu meliputi 31 peratus daripada jumlah keseluruhan profesional terlatih dalam sektor perbankan di negara ini. Kerajaan berkeyakinan unjuran permintaan di atas dapat dipenuhi dengan adanya strategi menyeluruh yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan. Bantuan pinjaman rumah Ahli Yang Berhormat Pulai menyarankan supaya Bajet 2009 mengambil kira bantuan kepada pembeli rumah serta membuat kawalan mengenai kadar inflasi. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pihak institusi perbankan telah memberikan komitmen untuk membantu meringankan beban peminjam pembeli rumah. Antara usaha-usaha yang telah dilaksanakan adalah seperti berikut: Pertama: i. merangkumkan kos awal seperti fi guaman sebagai sebahagian dari pinjaman. Dalam kes-kes tertentu, institusi perbankan boleh menanggung kos fi guaman dan duti setem bagi pihak pembeli; Kedua: ii. menawarkan produk-produk yang mengenakan kadar pinjaman faedah yang amat kompetitif serta menyediakan skim pinjaman bersama (2 Generasi); dan Ketiga: iii. institusi perbankan bersedia mengadakan rundingan awal dengan peminjam sebelum mereka menghadapi masalah bayaran balik. Institusi perbankan juga bersedia menstrukturkan semula pinjaman dengan melanjutkan tempoh pinjaman kepada mereka yang benar-benar menghadapi masalah bayaran balik. Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Ahli Yang Berhormat Permatang Pauh dan Ahli Yang Berhormat Ipoh Timur membangkitkan mengenai pemberian tender Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi kepada Telekom Malaysia. Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi ini adalah penting untuk memastikan daya saing negara pada masa hadapan. Prasarana sebegini akan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan aktiviti ekonomi dan perniagaan, dan seterusnya melonjakkan negara ke tahap nilai tambah yang lebih tinggi. Selain itu, pelaksanaan projek ini akan memangkin lebih banyak lagi pelaburan swasta. Bagi 2009, sebanyak RM700 juta peruntukan tambahan akan disediakan untuk mempercepatkan pelaksanaan projek ini. Kerajaan telah bersetuju supaya projek infrastruktur perkhidmatan telekomunikasi Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (High Speed Broadband (HSBB) oleh Telekom Malaysia Berhad (TM) dilaksanakan secara tender bagi memberi peluang kepada kontraktor-kontraktor tempatan yang berkelayakan, termasuk kontraktor Bumiputera. Antara justifikasi mengapa TM dipertimbangkan untuk melaksanakan projek HSBB adalah seperti berikut: i. Sebahagian besar infrastruktur tetap yang sedia ada (95 peratus) adalah milik TM. Pasaran jalur lebar masa ini adalah berdasarkan teknologi Asymmetric Digital Subscriber Line (ADSL) yang menggunakan teknologi copper di mana TM adalah syarikat telekomunikasi utama yang menguasai 95 peratus core network. Dasar pelantikan TM adalah bagi memastikan perluasan infrastruktur HSBB dapat dilaksanakan dengan lebih cepat kerana adalah mudah bagi TM untuk menaik taraf rangkaian sedia ada milik TM kepada teknologi Very High Speed Digital Subscriber Line 2 (VDSL2) yang mampu memberikan kelajuan minimum 10 Mbps dengan kos yang lebih rendah; ii. Kos penyediaan prasarana fiber adalah agak tinggi di mana pemberi perkhidmatan lain hanya boleh menyediakan rangkaian berkenaan di kawasan golden triangle saja, iaitu di kawasan yang sesuai saja. Bagaimanapun, pelaksanaan projek HSBB ini memerlukan perluasan infrastruktur HSBB di kawasan yang terpilih atau ditentukan kerajaan; iii. Pemilikan lebih daripada 90 peratus broadband market share oleh TM dapat menjamin take-up ke atas perkhidmatan dan kejayaan projek HSBB. Ini dapat memastikan sasaran untuk mencapai 50 peratus penembusan jalur lebar isi rumah; dan iv. Kedudukan kewangan TM telah dikenal pasti kukuh untuk membuat pelaburan ke atas projek HSBB. Perolehan Helikopter Daripada Eurocopter France Yang Berhormat Permatang Pauh dan Ipoh Timur membangkitkan beberapa perkara mengenai perolehan 12 unit helikopter daripada Eurocopter France untuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi menggantikan helikopter Nuri. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, perolehan pesawat ini dilaksanakan secara Tender Antarabangsa yang penilaian teliti telah dibuat oleh Jawatankuasa Teknikal dan Harga dan diperakukan oleh Lembaga Perolehan Kementah sebelum dimajukan kepada Kementerian Kewangan untuk penilaian dan kelulusan. Penilaian tender dibuat berdasarkan dokumen tender yang telah dikemukakan oleh petender-petender dan ia dinilai berdasarkan pematuhan tawaran petender kepada kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dalam dokumen tender. Syarikat yang dipilih adalah bukannya menawarkan harga yang tertinggi sebaliknya harga yang ditawarkan adalah memenuhi spesifikasi (Best Value For Money). Untuk makluman, tawaran syarikat Kelowna Flightcraft Limited (Canada) yang menawarkan harga terendah iaitu RM1.051 bilion tidak disokong kerana pesawat yang dibekalkan gagal dalam penilaian spesifikasi teknikal yang telah dibuat oleh KEMENTAH. Harga yang memenuhi spesifikasi dan dipersetujui oleh kerajaan adalah RM1.605 bilion iaitu masih rendah berbanding dengan tawaran harga tertinggi RM2.713 bilion. Tawaran harga yang dipersetujui adalah kompetitif kerana ia bukannya saja membabitkan kos pembekalan 12 helikopter (EC 725), malah merangkumi pembekalan alat ganti, Tools, Test Equipment, Publications, Documentations, Supplementary Articles (peralatan dukungan bagi penugasan khusus/ketenteraan), penyelenggaraan, Technical Support Services, latihan dan program offset yang ditawarkan. Tambahan lagi, jenis dan spesifikasi pesawat yang dibekalkan kepada kerajaan India adalah berbeza dengan pesawat yang ditawarkan kepada Malaysia. Harga yang dipersetujui oleh Kerajaan masih boleh dirundingkan ke paras terendah. Kerajaan tiada maklumat mengenai isu komisen kerana penilaian tender dibuat berdasarkan pematuhan petender kepada kriteria-kriteria yang telah ditetapkan dalam dokumen tender. Saya ingin memperjelaskan di sini, bahawa pengeluaran Surat Niat (LOI) bertarikh 15 September 2008 adalah selaras dengan peraturan perolehan semasa yang berkaitan dengan keperluan supaya LOA dikeluarkan secepat mungkin mengikut SPP 5/2007. Masalah Kontraktor di Sabah Ahli Yang Berhormat Kalabakan menyentuh Kontraktor Bumiputera dan bukan Bumiputera di Sabah yang menghadapi masalah disebabkan peningkatan harga bahan-bahan binaan yang tinggi. Didapati bahawa tiada peruntukan khas di dalam Belanjawan 2009 bagi mengatasi masalah ini. Apakah tindakan Kerajaan dalam menangani masalah ini bagi membantu kontraktor di Sabah terus menyiapkan projek kerajaan yang belum siap. Untuk makluman Ahli yang Berhormat, berikutan kenaikan harga bahan binaan dan harga bahan api yang ditanggung oleh pihak kontraktor dalam melaksanakan projek kerajaan, khususnya projek di bawah RMK-9, kerajaan bersetuju untuk mengkaji syarat perubahan harga bagi memastikan projek Kerajaan tidak terjejas dan dapat disiapkan. Untuk tujuan itu, Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Surat Pekeliling Perbendaharaan bertarikh 6 Ogos 2008 mengenai syarat dan kaedah pengiraan perubahan harga yang baru. Peraturan baru ini membolehkan syarat perubahan harga khas diberikan kepada projek reka dan bina, di samping menambah bilangan bahan binaan bagi tujuan pengiraan perubahan harga. Pelaksanaan perubahan harga ini turut diberikan kepada kerja-kerja Mekanikal dan Elektrikal, yang sebelum ini tidak mempunyai sebarang peruntukkan perubahan harga bagi kerja berkenaan. Kerajaan juga bersetuju untuk memberikan kemudahan khas kepada kontraktor seperti berikut: Pertama: (i) lanjutan masa sehingga tiga (3) bulan bagi projek yang masih dalam pembinaan; dan Kedua: (ii) bayaran kemajuan interim dibuat dua (2) kali sebulan mengikut nilai kerja sebenar bagi membantu aliran tunai kontraktor. Kerajaan yakin bahawa pelaksanaan syarat perubahan harga ini serta kemudahan khas yang diberi dapat membantu mengurangkan beban kewangan yang dihadapi oleh kontraktor di samping memastikan pelaksanaan projek RMK-9 dapat disiapkan. PENUTUP Tuan Yang DiPertua, Selama lebih lima jam Ketua Pembangkang telah berhujah tentang Bajet 2009. Ia adalah sesuatu yang luar biasa jika dibanding cuma satu jam setengah masa pembentangan Bajet 2009 oleh YAB Perdana Menteri pada 29 Ogos 2008. Namun tuduhan-tuduhan Permatang Pauh yang menyatakan Bajet 2009 ini tidak boleh diguna pakai ternyata meleset. Malah usaha pembangkang untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008 tidak lebih daripada suatu fatamorgana, mirage, impian yang tidak menjadi kenyataan. Yang pasti, usaha itu telah menyebabkan berlakunya ketidakstabilan suasana harmoni dan merenggangkan keyakinan pelabur asing kepada negara kita. Sesungguhnya kerajaan Barisan Nasional akan terus kukuh bagi menjaga kepentingan pelbagai kaum di negara ini. Semangat Bajet 2009 iaitu Kerajaan Prihatin akan terus menerajui perjuangan murni yang menjadi landasan teras kerajaan Barisan Nasional. Dalam menghadapi masa depan persekitaran yang mencabar ini, saya menyeru kepada semua rakyat warga Malaysia, baik di dalam atau luar negeri, untuk sama-sama menyumbang ke arah memastikan krisis ini ditangani dengan jayanya. Kita perlu belajar daripada pengalaman yang lalu, di mana kita berjaya mengharungi setiap krisis dengan semangat bersatu padu dan kerjasama yang erat. Semua pihak mempunyai peranan yang penting dalam memastikan negara kita terus membangun dengan maju, tidak kira sektor awam, sektor swasta, Badan Bukan Kerajaan (NGO) mahupun parti politik. Saya yakin, gandingan dan usaha sama yang jitu akan membolehkan kita berjaya menangani cabaran yang kita sedang hadapi ini, Insya-Allah. Sebesar mana dan setinggi mana pun rempuhan badai kemelesetan ekonomi dunia, akan kita hadapi dengan persiapan rapi. Benteng pertahanan kita wajar semakin tegap dengan sokongan akrab dan dokongan mantap dari semua pihak. Marilah kita menggalas amanah dengan penuh tanggungjawab untuk membina ekonomi negara melalui Bajet 2009 ini. Hasrat murni kita ini dilandasi dengan penuh sifat berhemah dan bijaksana demi mengutamakan kepentingan negara tercinta dan membela rakyat jelata. Akhir kata, saya sekali lagi ingin mengucapkan terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat yang telah mengambil bahagian dalam perbahasan dan mengemukakan pandangan serta saranan untuk perhatian Kementerian Kewangan.